Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Zulfiqar intai tempat dalam Kejohanan Asia 2019

zulfiqar.jpg
Pelari pecut negara, Muhammad Zulfiqar Ismail, mengintai peluang untuk berada dalam skuad olahraga negara ke Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar, bulan depan.

Pelajar pra-universiti Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI), Bandar Penawar berusia 20 tahun itu mengakui persaingan merebut tempat  ke kejohanan berkenaan amat sengit.

Ini memandangkan kesemua pelari pecut negara, terutama Jonathan Nyepa, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Aqil Yasmin, mempamerkan aksi terbaik sejak kebelakangan ini.

"Kalau nama saya terpilih ke Kejohanan Asia, Insya-Allah saya akan cuba beri yang terbaik," katanya ketika ditemui Bernama dalam edisi pertama Kejohanan Olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Sebelum itu, dia meraih pingat perak dalam acara 100m lelaki dengan catatan 10.41 saat manakala juara remaja dunia bawah 20 tahun, Lalu Muhammad Zohri Lalu Ahmad Yani, meraih emas (10.20s), diikuti pelari Taiwan, Wei-Tsu Wang, mengutip gangsa (10.44s).

"Catatan 10.41s ini boleh dikira agak baik untuk saya pada tahun ini kerana ia hampir dengan catatan terbaik peribadi musim, iaitu 10.40s, yang saya catat tahun lepas,” jelas Muhammad Zulfiqar yang merupakan pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia 2018.

Dalam pada itu, pelari pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad, berpuas hati dengan kutipan gangsa yang diraihnya dalam acara 100m menerusi catatan 11.91s, namun mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk melakar catatan masa yang lebih baik.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi atlet Kyrgyzstan, Anna Bulanova (11.75 saat), sementara pingat perak diraih atlet Taiwan, Chia Chen Hu (11.89 saat).

"Syukur Alhamdulillah, saya akhirnya dapat pingat setelah lama tidak menyertai mana-mana kejohanan tapi sasaran sebenar saya untuk memperbaiki catatan masa masih belum tercapai lagi.

"Saya gembira kerana melakar bawah 12 saat, namun saya berharap dapat baiki lagi catatan masa sama untuk berada di bawah 11.5 saat selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video