Skip to main content

Sukan Lain

Ziyad mahu perbaharui rekod dunia miliknya di London

27517ziyad.jpg
Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, mahu terus menggegar rekod dunia apabila bertekad mengatasi catatan 16.84 meter miliknya dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC di London, Julai depan.

Ziyad sebelum ini mencipta sensasi dengan melakukan lontaran sejauh 16.84 meter dalam acara lontar peluru F20 untuk merangkul pingat emas dalam Sukan Paralimpik Rio 2016, sekaligus diiktiraf sebagai rekod dunia.

Buat 2017, Ziyad optimis mampu mengatasi catatan yang dilakukan dan menyasarkan catatan sekitar 17 meter ke atas bagi memecah rekod dunia miliknya.

Keyakinan Ziyad berlandaskan rekod lontarannya pada tahun ini, ditambah latihan intensif selama tiga bulan di Leipzig, Jerman.

"Saya meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod dunia sekali lagi di London dan mengharumkan nama negara," katanya.

Ziyad masih belum pasti sama ada mampu bersaing dalam Sukan SEA Kuala Lumpur. Namun, tegasnya, usai Kejohanan Dunia IPC di London pada Julai, dia akan terus memberi penumpuan kepada Sukan Para Asean, di mana dia akan mempertahakan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu di Singapura.

"Saya masih belum layak ke Sukan SEA secara merit, tetapi saya sudah bersedia untuk mempertahankan pingat emas yang saya menangi dua tahun lalu dalam Sukan Para ASEAN."

Kejohanan Olahraga Para Dunia edisi kelapan akan membuka tirai dari 14 hingga 23 Julai depan di Stadium Olimpik, London. 
 

Advertisement

Must Watch Video