Skip to main content

Sukan Lain

Yukun teruskan program terjun sedia ada

yang-yukun.jpg
Pemangku ketua jurulatih skuad terjun negara, Zhang Yukun, terpaksa bergantung kepada program latihan bekas pengendali negara, Yang Zhuliang, kerana belum menentukan bidang tugas penolongnya, Christian Brooker. 

Yukun kesuntukan masa untuk merangka program latihan baru kerana hanya mempunyai tempoh sebulan sebelum Malaysia menyertai Grand Prix (GP) Dunia di Jerman penghujung bulan depan. 

Tugasnya makin sukar apabila Brooker memerlukan masa untuk mengenali penerjun negara sebelum memulakan tugas sebenar. Sehubungan itu, dia perlu meneruskan program latihan sebelum ini. 

"Buat masa ini, saya perlu membuat semua tugas kerana Brooker masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. 

"Masa terlalu suntuk untuk menukar program latihan baru. Kami perlu tunggu arahan daripada Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil sebarang tindakan," kata jurulatih dari China itu. 

Yukun dipilih sebagai pemangku ketua jurulatih negara berbanding Brooker kerana faktor pengalaman selain sudah tujuh tahun berada di Malaysia. 

"Saya menerima keputusan tersebut.

"Seperti yang pernah saya katakan, kami akan cuba bekerjasama untuk mencapai keputusan yang baik pada tahun ini," ujar penerjun negara bergelar juara dunia, Cheong Jun Hoong.

Hanya yang terbaik akan beraksi dalam Siri Dunia yang bermula di Beijing, China, Mac depan dan berakhir di Kazan, Russia, dengan Malaysia menampilkan empat penerjun, termasuk Pandelela Rinong, Leong Mung Yee dan Nur Dhabitah Sabri. 

Advertisement

Must Watch Video