Skip to main content

Sukan Lain

Yukun dilantik pemangku ketua jurulatih terjun

newenham5118.jpg
Program Podium membuat keputusan mengejut apabila melantik Zhang Yukun sebagai pemangku ketua jurulatih skuad terjun negara ketika Christian Brooker baru tiba di Malaysia dan memulakan tugas sebagai pembantunya.

Brooker, yang sebelum ini dicanang sebagai ketua jurulatih baru, terpaksa menyerahkan tugas tersebut kepada Yukun.

Program sukan termahal negara itu berpendapat Yukun lebih berpengalaman dan sesuai menggantikan Yang Zhuliang yang tidak disambung kontrak.

"Jurulatih Zhang akan memangku jawatan ketua jurulatih kerana dia mempunyai pengalaman beberapa tahun. Jadi, tidak hairanlah beliau layak untuk posisi sementara ini. 

"Ianya hanyalah sementara agar konsistensi mampu dikekalkan dan juga menambah baik sukan terjun bersama-sama ilmu sains sukan dan input pembantu jurulatih baru itu," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Brooker, yang pernah diangkat sebagai Jurulatih Elit Remaja Terbaik Australia 2014, tiba di Malaysia dua hari lalu dan baru memulakan tugas bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Australia itu tidak dibenar mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media kerana dia akan diperkenalkan secara rasmi sebagai penolong jurulatih negara, minggu depan.

"Kami belum berjumpa dengannya. Tiada sebarang komunikasi sehinggalah kami menjalankan proses temuduga. Jadi, kami menganalisis proses temuduga itu dan dia merupakan calon paling menonjol dan bakal diserap ke Program Podium," ujar Newenham.

Advertisement

Must Watch Video