Skip to main content

Advertisement

Gusti

Vince McMahon sudah nyanyuk?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

vince.jpg
Tindakan WWE Network menghentikan program bual bicara Talking Smack baru-baru ini telah mengundang kritikan WWE Universe yang telah sekian lama mengikuti program mingguan tersebut.

Siaran yang ke udara setiap minggu pasca acara Smackdown Live itu dihentikan siarannya berkuat kuasa serta merta kerana dilaporkan kurang mendapat perhatian penonton menyebabkan pihak WWE Network enggan meneruskan siaran yang dihoskan pengacara jelita Renee Young dan Daniel Bryan tersebut.

Namun, faktor rating bukanlah punca kritikal mengapa ia dihentikan. Menurut Sports Illustrated, Vince McMahon yang merupakan Pengerusi WWE sendiri yang tidak mahu program itu terus disiarkan kerana sebab-sebab tertentu.



Khabarnya, format program bual bicara tanpa sebarang kongkongan skrip itu tidak mendatangkan rasa senang kepada Vince. Dalam program itu, para bintang Smackdown Live akan diajukan beberapa soalan dan mereka bebas untuk memberikan sebarang jawapan secara spontan tanpa sebarang garis panduan. Tidak keterlaluan untuk dikatakan yang kadang kala terdapat antara bintang yang menjadi tetamu keluar seketika daripada karakter mereka dan para peminat dapat menyaksikan sisi lain penggusti tersebut yang jarang mereka dapat tonton di kaca TV.

Atas sebab inilah, Vince dikatakan kurang berkenan dengan format tersebut kerana beranggapan bahawa ia tidak mencerminkan hala tuju syarikat yang selama ini menjaja slogan sukan hiburan. Dengan kata lain, Vince mahukan bintangnya terus berada di dalam karakter yang dibawa dan tanpa kawalan, para bintangnya itu dikhuatiri akan breaking the kayfabe atau melanggar batas sandiwara yang dipersembahkan di TV.

Sebagai Pengerusi WWE, Vince bukan sahaja bertanggungjawab mengemudi syarikatnya dalam dunia korporat, malah beliau masih lagi menjadi teraju utama untuk setiap program mingguan WWE seperti Raw, Smackdown dan acara pay per view (PPV) setiap bulan. Hanya program NXT buat masa ini yang dikawal sepenuhnya oleh menantunya Triple H, namun ia masih tertakluk kepada seliaan Vince.

Oleh yang demikian, Vince menjadi pembuat dasar dan keputusan terakhir untuk setiap program di WWE. Tanpa restu dan lampu hijau daripada Vince, alamatnya akan terbatallah setiap apa yang dirancang pasukan kreatif dan arahan rombakan semula akan dikeluarkan. Bukan sesuatu yang pelik jika acara Raw atau PPV akan bertukar hala tuju secara tiba-tiba walaupun program hanya akan ke udara beberapa jam sahaja lagi. Itulah dia kuasa veto Vince McMahon. Seberapa hebat pun jalan cerita yang telah digariskan, jika Vince katakan tidak, maka simpan sahajalah jalan cerita tersebut untuk dibuat pekasam.



Vince yang telah menjadi taikun organisasi terbesar industri gusti profesional atau sukan hiburan sejak mengambil alih tampuk syarikat daripada mendiang bapanya Vince McMahon Sr pada tahun 1979. Daripada sebuah entiti yang menjadikan sukan gusti profesional sebagai model perniagaan, Vince Jr telah mengubah World Wrestling Federation (kini WWE) 360 darjah kepada sebuah syarikat yang menampilkan gusti sebagai elemen hiburan dan menamakan syarikat mereka sebagai sebuah organisasi yang mempersembahkan sukan hiburan.

Apabila menyebut sukan hiburan, sudah tentu setiap penggusti akan diberi watak tertentu untuk menarik perhatian penonton. Kadang kala, watak tersebut jauh tersasar daripada personaliti penggusti itu sendiri. Penggusti juga dipecahkan kepada dua kelompok iaitu geng baik (babyface) dan geng jahat (heel).

Justeru, sejak tahun 80an, dapat kita saksikan WWE penuh warna warni dengan kepelbagaian karakter. Ada penggusti yang menjadi warden penjara (Big Boss Man), Pengurus Pengebumian (Undertaker), pawing voodoo (Papa Shango), orang asli yang liar (Giant Kamala), si penjinak ular (Jake The Snake Roberts), tukang gunting rambut (Brutus Beefcake) dan ramai lagi.



Budaya karakter berwarna warni dan riang ria ini terus dibawa ke dekad seterusnya di zaman 90an. Doink The Clown, Duke The Dumpster Droese, dan Goldust (sekadar menyebut beberapa nama) antara karakter pelik yang masih ditampilkan Vince kerana ingin menarik penonton terutama golongan kanak-kanak. Kebetulan, WWE ketika itu juga berformat PG seperti hari ini.

Situasi ini menyebabkan Vince dikritik oleh peminat termasuk bintangnya sendiri. Salah seorang yang keras dalam isu ini adalah seperti Bret Hitman Hart yang menganggap WWE pada era itu seperti dunia kartun dan jika Vince terus menggunakan format itu, ia akan menyebabkan kehancuran syarikat yang dibinanya jika tiada transformasi dan anjakan dilakukan.

Bermula pada tahun 1995, WWE menerima tamparan hebat apabila pesaingnya iaitu World Championship Wrestling (WCW) di bawah taikun media Ted Turner mula agresif dalam memberikan alternatif kepada peminat gusti. Dengan pengenalan program mingguan mereka iaitu Monday Nitro yang serentak waktu siaran dengan program utama WWE iaitu Monday Night Raw, WCW berjaya mencuri tumpuan peminat apabila tampil dengan jalan cerita dan persembahan yang lebih berpijak di dunia nyata serta berpaksikan realiti.



Tanpa perlu menampilkan watak-watak pelik seperti sebelumnya (baca Yeti), WCW di bawah kendalian Eric Bischoff memulakan perang malam Isnin yang amat sengit. Berbekalkan bekas-bekas bintang utama WWE yang telah melompat kapal seperti Kevin Nash (Diesel) dan Scott Hall (Razor Ramon), mereka mencipta gagasan New World Order (nWo) dan ia meletup ibarat bom jangka.

Penceritaan yang dibawa WCW amat dekat di hati penonton kerana peminat keliru adakah apa yang mereka tonton itu adalah sekadar sebuah jalan cerita atau benar-benar berlaku. Tambahan pula ia berlaku di era pra internet. Segala yang disuap amat mudah dihadam penonton dan para peminat WWE yang selama ini setia di kem McMahon, mula beralih arah dan menjadi penyokong WCW.

Rating WWE merudum teruk dengan tewas selama 84 minggu berturut-turut kepada WCW. Akhirnya, di penghujung tahun 1997, Vince terpaksa mengorbankan egonya yang selama ini menggunakan elemen warna-warni kepada persembahan yang lebih keras, realistik dan provokatif melalui pengenalan Era Attitude.

Di era Attitude ini yang dianggap era emas gusti profesional inilah, Vince mula memperkenalkan bintang-bintang yang menampilkan karakter mereka sendiri tanpa perlu menggunakan gimik-gimik murahan. Stone Cold Steve Austin, The Rock, Triple H, Undertaker semuanya diberi kebebasan untuk membawa hala tuju karakter masing-masing, formula sama yang digunakai Eric Bischoff di WCW.



Ternyata percaturan Vince ini berjaya. Setelah tewas selama hampir dua tahun, WWE kembali menjadi perhatian dan WCW pula yang mula karam akibat masalah dalaman yang meruncing. Akhirnya, pada Mac 201, Vince kekal menjadi pemenang terulung apabila berjaya membeli WCW dan ECW yang menjadi pesaing terdekatnya waktu itu.

Selepas Era Attitude, WWE bertukar kepada era Ruthless Aggresion dengan masih menampilkan format persembahan yang ganas dan meletakkan sasaran demografik kepada lelaki muda 18 hingga 35 tahun. Lima tahun berselang, setelah merasakan dominasi mereka benar-benar kukuh dan tiada lagi pesaing terdekat yang mampu mencabar mereka, WWE berpatah balik ke belakang dengan kembali ke format tontonan PG, di mana tiada lagi aksi ganas keterlaluan dan WWE kini sesuai untuk ditonton seisi keluarga.

Penukaran format ini mengundang rasa kurang senang peminat. Bukan sahaja WWE tampak lebih lembut dengan tiada lagi aksi-aksi ngeri dan darah, malah WWE mula dilihat terlalu komersial dalam mendapatkan tajaan pihak luar sehingga gusti yang ganas selama ini ibarat rancangan kartun kanak-kanak di pagi Sabtu.


Hero kanak-kanak suka ramai John Cena diangkat menjadi wira selama bertahun-tahun sejak 2005 hingga ke hari ini. Pelbagai sekatan turut dikenakan seperti gerakan-gerakan berbahaya dan para bintang WWE mesti mengikut garis panduan promo yang ditentukan jabatan kreatif dan Vince McMahon. Jika ingkar, padah menanti dan surat pelepasan akan dititipkan.

Bermula pada 2014, WWE mula membuka mata apabila melihatkan peminat hari ini bukan lagi seperti peminat tipikal mereka sebelum ini. Para WWE Universe di era internet kini lebih vokal dan lantang untuk melihat apa yang mereka mahu di WWE. Betapa kuatnya suara peminat hingga Triple H sendiri menggelarkan era hari ini adalah Era Realiti. Era di mana peminat bebas memilih penggusti yang mereka mahukan, melangkaui batas penggusti karakter baik mahupun jahat.

Siapa sangka Daniel Bryan yang bersaiz kecil mampu beraksi di pentas utama Wrestlemania dan bergelar Juara Heavyweight Dunia. Semua ini bertitik tolak daripada para WWE Universe yang tanpa jemu untuk melonjakkan Daniel Bryan sehingga Vince dan WWE terpaksa menurut kehendak mereka.

Dengan penampilan sisi lain bintang WWE di program bual bicara Talking Smack ini, sudah tentu Vince yang barangkali masih terperangkap dalam era 90an enggan menyerlahkan bintangnya dalam perspektif berbeza. Kayfabe mesti sentiasa dipertahankan. Justeru, tidak peliklah program yang ‘jujur’ seperti Stone Cold Podcast yang dihoskan Stone Cold Steve Austin di WWE Network juga tidak lagi disambung dengan alasan terlalu berpijak di bumi nyata.

Dengan usia yang kini telah menginjak 71 tahun, ramai pemerhati merasakan yang sudah tiba masanya untuk Vince berehat dan melantik anak menantunya untuk menyambung legasi WWE. Ramai beranggapan yang Triple H mampu mencorak WWE menjadi entiti yang lebih baik dengan melihatkan kejayaan NXT yang dibinanya beberapa tahun lalu.

Tapi itulah Vince. Egonya mengatasi segalanya. Kita sebagai peminat kritik dan bidas lah seberapa banyak sekalipun. Namun jika pada pandangan Vince ia tidak mendatangkan laba dan tidak berkenan di hatinya, maka hadap sajalah apa yang diberi, Mengambil contoh Roman Reigns yang terus cuba dilonjakkan walaupun mendapat reaksi negatif daripada penonton.



Hanya ada satu solusi sahaja bagi menggugah gaya fikir ke belakang McMahon ini. WWE perlukan saingan sengit seperti WCW dulu. Tanpa saingan, Vince tahu yang peminat tidak akan mempunyai alternatif dan benci bagaimana sekalipun, mereka akan tetap menonton program-program WWE dan membayar 10 dolar setiap bulan untuk akses ke WWE Network.

Diharap organisasi seperti New Japan Pro Wrestling yang mula melebarkan sayapnya ke pasaran Amerika Syarikat tidak lama lagi akan sedikit sebanyak menggusarkan Vince dan tidak membuatnya terus selesa. Tidak dilupakan sirkit-sirkit yang lebih kecil namun terus bertahan seperti Global Force Wrestling (dulu TNA), Ring Of Honor dan lain. Hanya mereka ini sajalah harapan peminat untuk memberikan saingan kepada WWE.

Jika tidak, maka Vince akan terus berbuat sesuka hatinya dan dengan sinis akan mengungkapkan slogannya iaitu No Chance In Hell kepada peminat dan yang mahu menyainginya. Tidak kiralah sama ada kita menganggap beliau telah nyanyuk atau tidak.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 18,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.



 

Advertisement

Must Watch Video