Skip to main content

Sukan Lain

Usul persatuan sukan dikecualikan GST

mom-gst-170617.jpg
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengusulkan cadangan kepada kerajaan supaya semua persatuan sukan kebangsaan dikecualikan daripada membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan MOM yang Ke-36, hari ini. 

Menurut Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar, pengecualian itu dapat membantu persatuan sukan kebangsaan di mana sumber dana mereka banyak bergantung kepada penajaan dan juga geran tahunan. 

Usul itu diterima sebulat suara oleh semua wakil persatuan sukan yang hadir. 

"Jika pihak kerajaan benar-benar ingin membantu sukan, ini adalah salah satu cara untuk menunjukkan sokongan terhadap persatuan sukan," ujar Tunku Imran. 

Sementara itu, wakil persatuan sukan kebangsaan menyambut baik usul itu dengan harapan ia dapat diluluskan. 

"GST merupakan masalah buat persatuan sukan. 

"Kami berpendapat geran dan sokongan kewangan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) patut dikecualikan daripada GST," kata Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How. 

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, turut senada dalam hal ini. 

"Ia bukan untuk tujuan komersial tetapi pembangunan sukan dan atlet. 

"Kami berasakan pengecualian GST wajar dipertimbangkan memandangkan kami bukan bersikap komersial," katanya.

Sementara itu, Tunku Imran turut mengumumkan semua persatuan sukan akan menerima geran tahunan berjumlah RM10,000. 

Persatuan sukan yang terlibat dengan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan, juga akan menerima geran tambahan sebanyak RM6,000 di samping RM3,000 buat persatuan yang tidak mengambil bahagian. 

 

Advertisement

Must Watch Video