Skip to main content

Advertisement

Hoki

UniKL hantar rayuan kepada badan Eropah

hokiii.jpg
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menghantar rayuan kepada Persekutuan Hoki Eropah (EHF) untuk membenarkan empat pemain import diketuai bekas penjaga gol terbaik dunia, David Harte, beraksi menentang Terengganu Hockey Team (THT) dalam final Piala TNB, esok.

UniKL perlu menunggu hingga awal pagi esok untuk mengetahui sama ada empat pemain import mereka itu dapat beraksi dalam final di Stadium Hoki Tun Razak.

Pihak pengurusan sudah menghantar rayuan memandangkan keempat-empat pemain itu memainkan peranan besar hingga muncul juara liga selain mara ke final Piala TNB.

"Kami masih lagi menunggu keputusan daripada EHF. Jika empat pemain ini dapat bersama kami, UniKL dapat menurunkan skuad yang digunakan sepanjang saingan Liga Hoki Malaysia. Tetapi kami sudah membuat perancangan untuk aksi final jika terpaksa turun tanpa empat tonggak ini," kata jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.

EHF sebelum ini menetapkan pemain yang beraksi dalam Liga Hoki Eropah tidak boleh menyertai liga lain bermula 1 Mac.

Selain Harte, turut terbabit ialah pemain tengah, Robbert Kemperman serta penyerang, Velantine Verga dan Martijn Havenga.

UniKL mara ke final selepas menewaskan Maybank 9-1 secara argegat sementara TJT mengetepikan TNB dengan agregat 8-3.

"Kami dapat melihat peningkatan dalam permainan. Persefahaman di atas padang adalah kekuatan yang dimiliki THT," kata jurulatih THT, I. Vickneswaran.

Advertisement

Must Watch Video