Skip to main content

Hoki

Tiga ramuan kejayaan THT

tht260916.jpg
Tiga faktor menjadi kunci utama kejayaan Sarjit Singh untuk mengemudi Terengganu Hockey Team (THT) mengekalkan reputasi gergasi Liga Hoki Malaysia (LHM) dengan menjulang Piala TNB dan kejuaraan liga untuk tiga musim berturut-turut.

Cabaran makin sukar, namun THT masih kekal gergasi LHM. Kejayaan menumbangkan Sapura 3-0 dalam final Piala TNB, semalam, membuktikan Sarjit memiliki ramuan terbaik selepas tiga musim berturut-turut.

Apakah ramuan itu? 

Pertama adalah taktikal. Selepas membelasah Maybank 14-5 dalam separuh akhir, Sarjit menggunakan taktik serangan balas pantas dalam final.

Ternyata, beliau menggunakan sepenuhnya pengalaman sebagai bekas pemain, jurulatih kebangsaan dan kelab untuk muncul pengendali paling berjaya dalam era baru LHM.

Kedua, gabungan pemain. THT hanya memiliki dua pemain kebangsaan, iaitu kapten, Fitri Saari, dan penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman. Namun, mereka turut dibarisi pemain berkualiti seperti trio penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Ismail Abu dan Faizal Saari.

Ditambah pemain import Korea Selatan, Argentina dan Pakistan, THT memang sukar digugat.

Faktor ketiga adalah kehadiran Jang Jong-Hyun, iaitu pembelian pemain paling bernilai musim ini. 

Pertahanan import dari Korea Selatan ini memiliki ketajaman 60 peratus pukulan sudut penalti.

Berbekalkan tolakan padu, maka tidak hairanlah Jong-Hyun muncul penjaring terbanyak LHM dengan 16 gol.

"Dengan dua musim pertama, kami menamatkan liga dengan masing-masing 27 mata. Tahun ini, kami tidak pernah jangka memenangi liga tetapi kerana pasukan lain kurang menyerlah, kami mempunyai peluang untuk memenangi liga dan memenangi semua perlawanan.

"Ia bagus untuk hoki Terengganu, kami mengharapkan bakat-bakat muda Terengganu bermain hoki, yang mana ia bagus untuk negara," kata Sarjit.

Advertisement

Must Watch Video