Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sedia mempertimbangkan segala kemungkinan terbaik dalam kariernya bagi membutirkan pingat emas Sukan Olimpik pertama negara di Los Angeles 2028.
Aaron-Wooi Yik yang telah bergandingan bersama selama 11 tahun itu sedia berunding bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai hala tuju kariernya selepas pendekatan 'scratch pair' yang diambil barisan kejurulatihan negara ketika ini.
Perkara itu termasuk kemungkinan beregu di ranking keempat dunia itu untuk bergerak secara profesional bagi mengekalkan status mereka sebagai gandingan.
"Secara peribadi, karier saya tidak panjang lagi, jadi saya perlu mempertimbangkan pilihan yang ada dan membuat keputusan sekiranya berlaku sebarang perubahan.
"Setakat ini kita tengok dulu rancangan dengan BAM dan jurulatih. Sudah tentu saya dan Aaron harap kami boleh kekal, tetapi kalau rancangan itu tidak sehaluan, kita akan bincang lagi bagaimana.
"Saya perlu berbincang lebih lanjut dengan jurulatih mengenai hala tuju masa depan kami. Saya masih mempunyai tempoh dua tahun lagi, jadi apabila tiba masanya nanti, saya akan membuat keputusan yang saya rasakan terbaik," kata Wooi Yik.
Sebelum ini Aaron-Wooi Yik yang baru bergelar naib juara Kejohanan Dunia BWF difahamkan akan kembali menjadi ‘scratch pair’ menjelang Kejohanan Badminton Masters China 2026 yang dijadualkan akan bermula 1 September nanti.
"Kalau ikut perancangan jurulatih, di Shenzhen dan Eropah nanti kami akan tukar lagi dengan pasangan lain. Tetapi kami akan terus berbincang dengan jurulatih dan tengok bagaimana hala tuju seterusnya.
"Saya rasa pasangan asal mungkin lebih kuat kerana sudah lama bersama, tetapi mungkin jurulatih mahu melihat bagaimana kemampuan setiap pemain apabila digandingkan dengan pasangan lain," tambah Aaron dipetik daripada Sinar Harian.