Menjelang edisi kedua Kejohanan Sukan Orienteering Pekak, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Sembilan, Muhamad Zairul Zainodin, percaya teknologi sistem penjejak GPS (GPS system tracker) akan menjadi inisiatif terbaharu dalam memastikan kejohanan kali ini berjalan dengan lancar.
Menurutnya, teknologi itu diperkenalkan selepas melihat situasi terdahulu, di mana terdapat peserta yang sesat dan tidak menemui jalan pulang sehingga memerlukan usaha pencarian yang mengambil masa panjang.
Dengan sistem terbaharu itu, Zairul berharap kesemua 60 peserta dalam edisi kali ini dapat memberikan saingan terbaik sepanjang cabaran.
"Tahun ini kami memperkenalkan penggunaan pengesan GPS, di mana sebelum ini kami tidak pernah menggunakannya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Dengan teknologi ini, kami dapat mengesan dengan lebih awal kedudukan setiap peserta.
"Penyertaan tahun ini menghampiri 60 peserta dari seluruh negara, melibatkan kategori dewasa dan remaja.
"Kami berharap program tahun ini dapat berjalan dengan lancar dan diteruskan bagi tahun-tahun akan datang."