Kuala Lumpur Thunder tersingkir awal daripada saingan Grand Prix Melaka CelcomDigi Liga Sepak Takraw (STL) apabila tewas 0-2 di tangan Selangor Pistons dalam aksi Kumpulan C di Bukit Serindit hari ini.
Selepas tewas 0-2 kepada Johor Tigris semalam, Thunder tiada pilihan selain menewaskan Pistons tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila mereka tewas mudah 6-15, 12-15.
Dalam aksi Kumpulan D, Kedah Eagles terlepas peluang untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir apabila tewas 1-2 kepada ATM Guardians.
Eagles menewaskan Kelantan Warriors 2-1 semalam dan kemenangan hari ini akan mengesahkan kemaraan mereka tetapi pasukan berkenaan tewas 15-8, 11-15, 8-15.
Mereka kini perlu mengharapkan Guardians menewaskan Warriors esok untuk layak ke suku akhir selaku naib juara kumpulan.