Negeri Sembilan diberikan kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City selepas skuad Warga Kota itu didapati melanggar melanggar Artikel 4.5.7 (i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027 apabila gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal.
Perkara itu menyebabkan KL City gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang The Jang pada 22 Ogos lalu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Malah, kegagalan KL City itu menyebabkan mereka perlu membayar denda sebanyak RM50,000 serta dikehendaki membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL.
Tidak terhenti di situ, Malaysian Football League (MFL) juga menolak permohonan KL City untuk menangguhkan aksi berdepan Kuching City, dengan menjelaskan: "Sekiranya Kuala Lumpur City FC tidak beraksi pada perlawanan itu maka kemenangan 3-0 serta 3 mata akan diberikan kepada Kuching City FC selain pasukan tuan rumah turut bakal dikenakan hukuman denda RM50,000." katanya.
"Setelah mengambil kira keseluruhan fakta dan dokumen yang dikemukakan serta peruntukan di bawah Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dan Constitution of the Malaysian Football League, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati Kuala Lumpur City FC gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal sehingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang Negeri Sembilan FC.
"Ini berikutan hasil semakan menerusi sistem MyPAS pada 22 Ogos 2026, MFL mendapati Kuala Lumpur City FC hanya mendaftarkan 12 pemain sahaja (11 pemain, 1 penjaga gol).
"Sehubungan itu, Lumpur City FC jelas telah melanggar Artikel 4.5.7 (i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027 : "Bagi semua kelab Liga Malaysia hendaklah mendaftar maksimum 20 dan minimum 15 orang Pemain termasuk minimum 2 orang Penjaga Gol dalam ‘Team List’ serta Pekeliling Liga Malaysia berkenaan syarat-syarat pendaftaran pegawai dan pemain Liga Super 2026-2027 yang telah diedarkan kepada semua kelab pada 29 Jun 2026 : “Semua kelab hendaklah mendaftarkan minimum 20 orang pemain termasuk 3 orang penjaga gol pada atau sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia 2026 – 2027.”
"Selain itu Kuala Lumpur City FC juga tidak mematuhi Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP): "Kelab hendaklah melengkapkan Team Selection List dengan dua puluh (20) orang pemain iaitu, pemain kesebelasan utama, pemain simpanan termasuk ketua kelab serta Sepuluh (10) orang pegawai di bangku simpanan.
"Unit Pelesenan Kelab MFL dan First Instance Body (FIB) sudah berulang kali mengeluarkan peringatan kepada Kuala Lumpur City FC untuk menyelesaikan denda yang telah dikenakan oleh FIFA sehingga mendapat Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.
"Namun Kuala Lumpur City FC dilihat gagal bertindak proaktif dalam menyelesaikan kes berkenaan yang akhirnya memberi kesan kepada urusan pendaftaran pemain kelab itu musim ini.
Justeru Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan bahawa Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 serta mendapat tiga mata di atas kegagalan Kuala Lumpur City FC yang tidak turun beraksi pada perlawanan pertama Unifi Liga Super.
"Kuala Lumpur City FC turut dikenakan denda sebanyak RM50,000 serta dikehendaki membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL." kongsi MFL.