Skip to main content

Sukan Lain

Tiada siapa pengaruhi tindakan saya -- Khairul Effendy

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

khairul-eff.jpg
Kapten skuad futsal negara, Khairul Effendy Bahrin, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap situasi semasa sukan itu kerana bimbang dengan misi penting pasukan kebangsaan dalam Kejohanan AFF di Vietnam, Oktober depan.

Khairul Effendy yang mesra disapa ‘Ayon’ mencetus sensasi apabila mempersoalkan sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap sukan futsal.

Ia menerusi luahan kecewanya berhubung kelewatan penganjuran Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) dan kesamaran terhadap perancangan skuad negara ke Kejohanan AFF.

Selepas menerima reaksi FAM yang menyangkal dakwaan futsal disisihkan, Khairul Effendy semalam menafikan dirinya bertindak mengikut emosi atau dipengaruhi pihak lain.

"Saya ada memuat naik status dan itu daripada pendapat peribadi, tiada sesiapa yang mempengaruhi saya. Mungkin ada kandungan yang tidak elok buat FAM tetapi saya sudah menemui mereka," katanya.

Bagaimanapun, tindakan Khairul Effendy kemudian menyaksikan FAM mengesahkan saingan MPFL akan bermula bulan depan dan persiapan skuad futsal negara sudah diluluskan badan induk itu.

Kejohanan AFF tahun ini penting buat skuad negara kerana empat pasukan terbaik akan layak ke Kejohanan AFC yang menawarkan lima slot ke pentas Piala Dunia 2020.

"Tahun ini kejohanan yang ada memang agak penting kerana kami mahu ke Kejohanan AFC, jadi ia agak merisaukan saya. Perbincangan telah dilakukan dengan jurulatih dan dia memiliki perancangan buat kami," katanya.

Advertisement

Must Watch Video