Skip to main content

Sukan Lain

Terlepas Kejohanan Asia, Rayzam azam bangkit pertahan emas di Filipina

rayzamshah-wan-sofian.jpg
Jaguh 110m lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Soffian, terlepas peluang beraksi dalam Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar, bulan ini susulan kecederaan patah tangan yang dialaminya dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, semalam.

Meskipun kecewa, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67 saat yang dilakar pada 2017 itu, berazam untuk bangkit dan kembali berlatih secepat mungkin demi menjayakan misi mempertahakan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, dari 30 November hingga 11 Disember depan. 

"Sedih itu sedih tetapi saya bersyukur kerana bukan kaki saya yang patah. Kecederaan ini mungkin memerlukan saya berehat enam hingga tujuh minggu sebelum dapat kembali berlatih tetapi banyak latihan lain saya boleh buat untuk kekalkan tahap kecergasan saya tanpa menggunakan tangan kanan ini.

“Kehilangan kecergasan apa yang paling saya risaukan dan sekarang apa yang penting saya mahu kembali pulih segera dan kembali ke trek. 

"Kejohanan di Doha bukan misi utama saya, misi saya adalah dalam Sukan SEA 2019. Itu lebih penting,” katanya yang sudah membuat lima penampilan dalam Kejohanan Asia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam final acara itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam, Rayzam Shah mengalami patah tangan kanan selepas terjatuh di pagar terakhir ketika sedang selesa ​​​​​mendahului barisan pelari lain menuju garisan penamat.

Atlet berusia 31 tahun itu mengakui berpeluang mencatat 13.70s yang akan menjadi masa terbaiknya musim ini sekiranya menamatkan perlumbaan tersebut.

Jelas Rayzam Shah, beliau turun bertanding dalam kejohanan yang julung kali dianjurkan itu dengan motivasi dan semangat yang tinggi, terutama setelah mencatat 13.82s dalam Terbuka Singapura, Khamis lalu.

“Tipu kalau saya cakap apa yang jadi itu saya tidak kecewa. Memang kecewa sebenarnya, lagi-lagi ia berlaku di pagar terakhir.

"Ini kerana fizikal saya berada di tahap terbaik dan kalau tidak jatuh, saya mungkin mencatat 13.70s.

“Saya sudah buat catatan terbaik musim ini, 13.82s, di Singapura, Khamis lepas dan jika diikutkan rakaman dan masa diambil jurulatih semalam, memang sah boleh buat 13.70s kalau saya dapat tamatkan larian. 

"Tetapi ini adalah sukan dan apa sahaja boleh berlaku,” tambahnya.

Atlet kelahiran Kota Kinabalu itu akan mendapatkan rawatan susulan serta pembedahan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu dan dijangka berehat beberapa minggu sebelum menyambung latihan.

Kejohanan Asia di Doha dijadualkan dari 21 hingga 24 April ini.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video