Mauro, 47, yang sebelum ini menjadi pengulas utama di acara Smackdown Live akan membuka lembaran baharu apabila beliau akan menyertai pasukan pengulas di jenama ketiga WWE iaitu NXT dan akan memulakan tugasannya bermula Sabtu ini.
Pengulas veteran kelahiran Kanada ini turut membuat kenyataan rasmi melalui akaun Instagram miliknya, menyatakan keterujaannya untuk menyertai keluarga hitam kuning dan menjelaskan dengan secara ringkas tentang salah faham yang terjadi antaranya dengan WWE sebelum ini yang memaksa beliau menarik diri.
"Episod NXT telah bermula! WWE dan saya akhirnya bersetuju untuk menamatkan peranan saya di Smackdown dan ia tiada kena mengena dengan semua khabar angin berkenaan pertikaian. Oleh kerana saya masih di dalam kontrak bersama WWE, kami telah berbincang tentang pelbagai opsyen.
Walaupun pada asalnya saya berhasrat untuk menarik diri, namun masih ada sekelumit semangat untuk kembali bertugas. Justeru, kami telah mengikat persefahaman bersama yang akan memberi manfaat kepada saya dan WWE, yang mana saya amat teruja untuk mengisytiharkan bahawa saya kini adalah sebahagian daripada pasukan pengulas NXT," tulisnya.
Naib Presiden WWE, Triple H yang merupakan orang kuat di belakang jenama NXT juga tidak ketinggalan mengalu-alukan penyertaan Mauro melalui catatan di Twitternya:
Advertisement

Selain gusti, antara sukan lain yang pernah diulas Mauro adalah bola sepak Kanada, hoki ais, tinju, kickboxing, dan seni tempur campuran (mixed martial arts). Suaranya pernah menghiasi Pride Fighting Championship, Showtime Boxing, Glory Kickboxing dan menjadi tonggak suara utama di saluran Fight Network di Kanada.
Mauro juga akan mencipta sejarah apabila akan menjadi pengulas bagi perlawanan epik yang ditunggu-tunggu antara jaguh tinju Floyd Mayweather Jr. menentang Juara UFC, Conor McGregor pada Ogos ini.
Mauro memulakan tugasannya di WWE pada Disember 2015 dan menjadi pengulas bagi acara Smackdown. Beliau turut bergandingan dengan Daniel Bryan di meja pengulas bagi siri kejohanan Cruiserweight Classic tahun lalu dan berjaya menjadikan setiap perlawanan di Smackdown amat menarik dengan gaya ulasan bertenaganya.
Namun persoalan mula tercetus apabila pada Mac lalu, Mauro tidak datang bertugas untuk beberapa siri Smackdown dengan alasan terperangkap dalam cuaca buruk dan kondisi kesihatan yang tidak memberansangkan. Ketidakhadiran Mauro ini menyebabkan beliau terlepas acara gilang-gemilang Wrestlemania pada April dan kelibatnya tidak lagi kelihatan selepas itu.
Melalui beberapa catatannya di Twitter, Mauro seolah-olah membayangkan yang beliau tidak selesa bekerja bersama John Bradshaw Layfield (JBL). Beliau yang mempunyai masalah depresi dan bipolar disorder, dilaporkan mengalami tekanan yang agak serius kerana terdapat dakwaan yang JBL kerap membulinya di belakang tabir.
Pihak WWE dan JBL sendiri telah menafikan perkara ini. Namun pada masa yang sama, WWE masih tegas dalam setiap perlakuan tidak bermoral di belakang tabir, sesuai dengan kempen anti buli yang sering mereka anjurkan. Tempat Mauro akhirnya diganti dengan Tom Philips yang merupakan pengulas NXT, bersama JBL dan Byron Saxton.
Kontroversi tentang aktiviti pembulian JBL tersebut menjadi topik hangat sejak beberapa bulan lalu sehingga membuatkan para penonton di arena sendiri bersorak "Pecat JBL!!!" di beberapa acara WWE.
Dengan perkembangan terkini ini, tindakan WWE dengan memindahkan jenama untuk Mauro adalah langkah yang tepat agar perkara yang sama tidak berulang. Rombakan ini mungkin akan menyaksikan Tom Philips berpindah terus dari NXT ke Smackdown Live, manakala Mauro pula bergandingan bersama Nigel McGuiness dan Percy Watson.
Yang pasti, ungkapan "Mamma Mia!" akan kembali menghangatkan tontonan NXT Universe selepas ini.
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.