Skip to main content

Tenis

Terbuka AS: Osaka kongsi saat menyentuh hati dengan Gauff

gauffosaka.jpg
Kepada yang mahu menyaksikan Coco Gauff menghasilkan satu lagi aksi mengejutkan ketika menentang Naomi Osaka, mereka pasti akan berasa kecewa, namun kedua-dua pemain itu memaparkan sesuatu yang menyentuh hati dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) di New York, awal pagi tadi.

Juara bertahan dan dan pemain nombor satu dunia itu jelas terlalu sukar untuk ditentang Gauff apabila mudah meraih kemenangan 6-3, 6-0 dalam tempoh 65 minit ke atas lawan berusia 15 tahun itu.

Ia merupakan aksi luar biasa daripada Osaka, namun apa yang dilakukannya selepas tamat perlawanan mendapat sambutan paling gemilang di Flushing Meadows.

Ketika Gauff yang sedang mengalirkan air mata hendak meninggalkan gelanggang, Osaka memujuk pemain muda tuan rumah itu agar tidak keluar supaya mereka boleh bersama-sama dalam sesi temu bual di atas gelanggang.

Mereka kemudian menitiskan air mata ketika berucap di depan penonton di Stadium Arthur Ashe, yang kemudian berdiri untuk memberikan tepukan gemuruh.

Osaka pasti akan meraih lebih banyak peminat di atas semangat kesukanan yang dipamerkannya itu dan akan berdepan Belinda Bencic -- yang mendapat laluan percuma selepas Anett Kontaveit menarik diri susulan masalah kesihatan -- dalam suku akhir.

Advertisement

Must Watch Video