Skip to main content

Advertisement

Tenis

Terbuka Miami: Federer ke final singkir Shapovalov

federer.jpg
Roger Federer melangkah ke final Kejohanan Tenis Terbuka Miami di Florida, Amerika Syarikat (AS) selepas memaparkan aksi tanpa belas kasihan ke atas Denis Shapovalov, hari ini.

Dengan memburu kejuaraan keempatnya di Miami, bekas pemain nombor satu dunia itu menyingkirkan lawan muda dari Kanada itu 6-2, 6-4.

Kekuatan pukulan kilas yang sudah sinonim dengan Federer memberikan kelebihan penuh untuk juara kejohanan grand slam 20 kali itu mencongak perhitungan dengan John Isner dalam penentuan kejuaraan.

Ia merupakan pertemuan pertama mereka dan ketika Shapovalov bersungguh-sungguh untuk mengeluarkan segala yang terdaya, Federer memaparkan aksi luar biasa untuk melangkah ke final kejohanan bertaraf ATP 1000 itu.

Shapovalov jelas gugup ketika Federer mula mengorak langkah dalam game ketiga dan meneruskan aksi garang itu untuk mendahului 4-1.

Pemain berusia 19 tahun itu memaparkan beberapa pukulan balas menarik, namun dia tiada jawapan untuk menangani Federer, yang pukulan kilasnya terlalu tajam dan pantas, tidak termasuk pukulan separa voli yang menghentak gelanggang lawan -- yang turut mengejutkan penonton di Miami Gardens.

Shapovalov berjaya menghimpunkan empat mata berturut-turut -- buat kali pertama sepanjang perlawanan -- bagi mengelakkan Federer menghampiri kemenangan dalam set tersebut ketika servis di tangannya.

Bagaimanapun, ia hanya dapat menunda seketika kemenangan Federer yang menamatkan set itu dengan kemenangan dalam tempoh 35 minit.

Shapovalov wajar diberikan pujian kerana tidak berputus asa untuk melakukan pukulan terus yang memberikan sedikit kesukaran buat Federer dalam mata akhir.

Bagaimanapun, Federer tidak mampu lagi dihalangnya ketika pemain itu mengesahkan kemaraan ke final kelimanya di Miami.

Advertisement

Must Watch Video