TENIS
Terbuka Australia: Sharapova akhiri kekuasaan Wozniacki
Maria Sharapova mengakhiri cabaran Caroline Wozniacki untuk mempertahankan gelaran Terbuka Australia selepas merakamkan kemenangan 6-4, 4-6, 6-3, sekali gus melangkah ke pusingan 16, hari ini.
Dalam pertembungan di antara kedua-dua pemain sejak 2015, Sharapova berjaya mengatasi juara bertahan itu selepas 2 jam dan 24 minit di Arena Rod Laver.
Wozniacki gagal mempamerkan permulaan cemerlang dalam dua set pertama sebelum Sharapova mengambil peluang untuk memastikan kemenangan dalam set penentuan.
Iklan
Juara grand slam lima kali dan pemenang Terbuka Australia 2008, Sharapova, akan berdepan wakil tuan rumah, Ashleigh Barty, dalam pusingan seterusnya.
Wozniacki dan Sharapova saling menguji kebolehan masing-masing di gelanggang dalam usaha mengutip mata.
Kesilapan Sharapova membenarkan Wozniacki mendahului 3-1 sebelum pemain pilihan ketiga itu melakukan 'double fault' dalam game ketujuh.
Sharapova beraksi dengan cemerlang selepas memenangi lima game berturut-turut sebelum memuktamadkan set pertama dengan pukulan 'forehand' yang gagal dibalas Wozniacki.
Wozniacki menggunakan kelebihan dengan memperlahankan momentum Sharapova untuk bangkit memenangi set kedua 6-4.
Kesilapan yang dilakukan oleh Wozniacki dalam set ketiga menjadi kelebihan buat Sharapova yang mempamerkan aksi cemerlang, sekali gus merakamkan kemenangan 6-3.
Must-Watch Video