TENIS
Terbuka Australia: Saya tidak beraksi buruk ketika kalah, kata Nadal
Rafael Nadal sedih mengalami kekalahan kepada Dominic Thiem dalam Terbuka Australia tetapi menegaskan dia berpuas hati dengan tahap persembahannya serta sikapnya dalam pertemuan suku akhir itu malam tadi.
Thiem menewaskan Nadal buat julung-julung kalinya dalam enam percubaan grand slam menerusi kemenangan 7-6 (7-3), 7-6 (7-4), 4-6, 7-6 (8-6) dalam pertarungan di Rod Laver Arena itu yang berlangsung selama 4 jam dan 10 minit.
Pemain Austria itu mara untuk bertemu Alexander Zverev dalam aksi separuh akhir esok sementara pemain nombor satu dunia berkenaan terpaksa menangguhkan usahanya untuk menyamai rekod 20 gelaran utama yang dimiliki Roger Federer.
Iklan
Begitupun, Nadal tidak mengeluh selepas kekalahan itu sambil mengangkat Thiem sebagai pemenang yang layak.
"Dia beraksi dengan hebat," kata pemain berusia 33 tahun itu mengenai Thiem.
"Dia menggunakan banyak tenaga, agresif dan tekad. Jadi, syabas kepadanya.
"Secara jujurnya, saya tidak beraksi buruk, tidak, tidak. Sikap saya juga hebat sepanjang pertarungan ini.
"Sudah tentu saya berasa sedih. Saya terkandas untuk ke separuh akhir dalam satu lagi kejohanan grand slam. Namun, saya kalah kepada lawan yang hebat dan dia memang berhak menang.
"Saya dalam keadaan baik, positif, mempamerkan semangat juang sepanjang masa kerana ia akan meningkatkan peluang saya. Itulah yang saya cuba lakukan.
"Saya tidak berputus asa walaupun sedetik dalam perlawanan ini dan ia mencetuskan peluang buat saya sehingga mata terakhir.
"Saya gembira untuk itu kerana tahap tumpuan dan tenis saya menjadi lebih baik. Saya fikir tahap tumpuan itu lebih baik daripada permainan saya tetapi ia bukanlah terlalu buruk."
Nadal, yang melakukan 49 pukulan yang menghasilkan mata dan 33 kesilapan sendiri serta melakukan empat daripada sembilan 'break point', berdepan kesukaran dalam tempoh tertentu.
Pemain Sepanyol itu menambah: "Adalah sukar untuk menentangnya. (Saya) gembira tetapi dalam beberapa ketika saya memerlukan sedikit lagi keazaman -- memang benar bahawa pada suatu ketika keadaan menjadi sukar.
"Secara jujurnya, apabila menggunakan bola baru, saya dapat beraksi dengan lebih baik. Saya mempunyai dua 'break point' dan saya berasa lebih selesa dengan bola baru.
"Kemudian bola menjadi sangat berat. Dia pula lebih muda. Dia sangat pantas. Dengan bola yang berat, kadang-kadang adalah sukar untuk menentukan pemenangnya. Dia pula mempunyai banyak tenaga, jadi dia dapat menghasilkan pukulan yang menakjubkan di kedudukan yang sangat sukar."
Nadal turut ditanya apakah yang diperlukannya untuk meraih kemenangan.
"Ya -- memenangi 'tie-break'!" katanya. "Itulah caranya, adakalanya perkara tidak akan menyebelahi saya. Ia satu perlawanan yang sangat baik dengan tahap permainan yang baik.
"Saya mempunyai peluang terhidang ketika mendahului 5-3 dalam set pertama. Saya melakukan servis dalam mata akhir itu, ia adalah detik yang sangat penting dalam perlawanan ini.
"Kemudian saya tidak beraksi dengan baik dalam tie-break. Saya bangkit dalam set kedua tetapi dia mempamerkan keazaman yang tepat.
"Dia mempamerkan permainan yang hebat ketika berdepan saya pada masa lalu dengan memperagakan aksi yang berkualiti tinggi. Kami saling menyukai karakter masing-masing -- saya suka dengan sikapnya dan mungkin dia juga begitu!
"Kami mempunyai beberapa aspek yang boleh dibandingkan di antara satu sama lain dan saya mengucapkan semoga berjaya kepadanya dalam baki perjuangan kejohanan ini."
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video



