Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Halep anggap cuaca panas punca tersingkir

halep.jpg
Simona Halep berkata cuaca panas telah "membunuhnya" ketika tunduk kepada Garbine Muguruza dalam separuh akhir Grand Slam Terbuka Australia malam tadi.

Ketika suhu di Melbourne Park mencecah pertengahan 30 darjah Celsius, ia mengundang rasa tidak selesa kepada kedua-dua pemain itu di Arena Rod Laver.

Muguruza selaku pemain bukan pilihan akhirnya lebih menyerlah untuk mengatasi ranjau itu menerusi kemenangan 7-6 (10-8), 7-5 untuk menempah tiket perlawanan akhir bertemu Sofia Kenin esok.

Halep menguasai setiap set sebelum dua kali dipintas Muguruza, yang prestasinya merudum sejak memenangi Terbuka Wimbledon dan Perancis pada awal kerjayanya.

Namun, dia kembali menyerlahkan prestasi terbaik untuk menyingkirkan Halep, yang pernah mengungguli gelanggang rumput dan tanah liat, daripada kejohanan itu.

"Cuaca sangat panas hari ini dan saya berasakannya," katanya. 

"Ia membunuh saya selepas mengharungi set pertama, malah ketika penghujung set pertama. Matahari begitu terik. Saya tidak begitu menggemari beraksi di bawah keadaan sebegini."

Begitupun, bahang itu belum cukup untuk memenuhi syarat supaya bumbung gelanggang berkenaan ditutup secara automatik.

"Saya lebih suka kalau bumbung ditutup tetapi peraturan tetap peraturan. Kami harus akur," tambahnya. 

"Kudrat saya sedikit menurun dan ia dapat dirasakan di bahagian kaki. Saya belum biasa dengannya sepanjang dua minggu yang lalu kerana ia tidaklah sepanas ini. 

"Hari ini saya berasakan ia lebih panas. Saya tidak berada di tahap 100 peratus tetapi begitulah keadaannya."

Halep berkata kekalahan itu meninggalkannya "dalam kesakitan" selepas memaparkan prestasi hebat di peringkat terdahulu. 

"Apapun, hidup perlu diteruskan," katanya. 

"Saya fikir saya sepatutnya bertindak lebih berani dalam mata-mata penting tetapi saya gagal berbuat demikian."

Muguruza kelihatan meniti landasan untuk muncul pemain yang akan menguasai kejohanan itu sejak memenangi gelaran Wimbledon dengan bergaya pada 2017.

Dia menduduki tangga pertama dalam ranking WTA ketika itu tetapi prestasinya mula menjunam apabila hanya menghuni di luar kedudukan ke-30. 

"Jika setiap hari dia boleh bermain seperti ini, dia pasti boleh menjadi pemain nombor satu," kata Halep lagi.

"Tetapi adalah sukar untuk melakukannya."

Pemain kelahiran Romania itu menyedari hakikat berkenaan setelah bertahan di puncak ranking selama 64 minggu.

"Ketekalan dalam siri jelajah merupakan perkara yang paling penting dan paling sukar.
"Dia seorang juara hebat. Dia tahu bagaimana untuk memenangi grand slam, untuk memenangi gelaran."



Editor: Shaiful Shamsudin        

Advertisement

Must Watch Video