Skip to main content

Sukan Lain

TERBAIK 2023: 23-1

jdt-juara-piala-mas.jpg
Rangkuman 50 Terbaik kalendar sukan tempatan & antarabangsa sepanjang tahun 2023.

23. LE TOUR DE LANGKAWI

Perlumbaan Le Tour de Langkawi, LTDL 2023 menampilkan keunikan tersendiri apabila jersi pendahulu keseluruhan buat kali pertama ditukar kepada warna hijau berbanding kuning yang digunakan sejak penganjuran diperkenalkan pada 1996.

Semuanya ekoran syarikat Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS tampil sebagai penaja perdana bagi perlumbaan bertaraf ProSeries berkenaan untuk tempoh selama tiga tahun sehingga 2025.

LTDL 2023 menampilkan 132 pelumba daripada 22 pasukan (berstatus WorldTeam, ProTeam dan Continental) selain pasukan kebangsaan dengan secara keseluruhan edisi kali ini menyaksikan laluan merangkumi 11 negeri dengan 8 peringkat perlumbaan.

22. SABAH & SENSASI DI PIALA AFC

Sabah cipta sensasi tersendiri di pentas Piala AFC musim ini apabila mara ke pentas separuh akhir zon ASEAN Piala AFC bertemu wakil Australia, Macathur FC 13 Februari depan selepas The Rhinos muncul juara kumpulan H.

Pencapaian terbesar anak buah Datuk Ong Kim Swee ini mendapat perhatian dan pujian ramai sekaligus menyaksikan aksi 13 Februari depan dinanti ramai dengan harapan pasukan Sabah akan berjaya lolos ke saingan akhir zon ASEAN.



21. SELANGOR & PENTAS ASIA

Persoalan akhirnya terjawab, pada 19 Disember lalu, Selangor sah bakal beraksi di pentas Asia musim 2024-2025.

Susulan pencapaian muncul naib juara Liga Super bagi musim 2023, Selangor FC kendalian Tan Cheng Hoe bakal membawa cabaran ke pentas Liga Juara-Juara Asia 2 musim hadapan.

Ini kerana Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya muncul juara Liga Super serta Piala FA, tiket ACL2 diberikan kepada pasukan kedua terbaik dalam saingan liga.

 

20. ATLIT MUDA & SENSASI KE OLIMPIK

Empat atlit muda mendominasi senarai awal wakil negara untuk bertanding di temasya Sukan Oimpik Paris 2024 tahun depan termasuk penembak senior, Johnathan Wong yang bakal membuat penampilan kedua Olimpik selepas kali pertama debutnya di Olimpik Rio 2016.

Empat atlit muda negara itu ialah Arina Nur Dania Zairi, atlet memanah recurve individu wanita yang mengesahkan kelayakan secara merit susulan aksi cemerlang di Kejohanan

Benua Asia Bangkok 2023 selain penerjun, Bertrand Rhodict yang muncul atlit pertama negara mengesah tempat ke Paris.

Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Latif turut memastikan dia mara ke Paris selepas menyumbang emas pertama Malaysia di Sukan Asia Hangzhou September lalu bersama atlet berbasikal lebuhraya negara, Aisyah Zubir yang mengesah kelayakan menerusi kuota.




19. JOHOR JEWELS JUARA NSL

Johor Jewels menepati ramalan apabila berjaya muncul juara Netball Super League 2023 selepas menumpaskan KL Wildcats 47-43 dalam aksi penuh dramatik.

Kemenangan itu bermakna Johor Jewels berjaya mempertahankan kejuaraan dan juga memgekalkan rekod tanpa kalah serta menjadi satu pencapaian yang gemilang buat skuad bimbingan Tracey Robinson.

18. BELASUNGKAWA

Tahun 2023 juga menyaksikan arena bola sepak negara diselubungi duka dengan perginya permata penting yang sentiasa lantang menyuarakan pendapatnya, bekas pengendali Harimau Malaya, B. Satiananthan.

Satia, 65 tahun sebelum ini dilaporkan terpaksa berehat daripada arena bola sepak negara seketika bagi menjalani rawatan kesihatan. Mendiang yang juga merupakan bekas pengendali beberapa pasukan di Liga Malaysia sentiasa lantang menyuaran pandangan dalam pembangunan bola sepak negara selain menjadi rujukan mengulas isu berkaitan bola sepak menerusi jawatan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, PJBM.



Seorang lagi permata yang turut meninggal dunia sukan negara – Hanapiah Nasir, legenda olahraga negara yang juga menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun.

Allahyarham meraih empat emas Sukan SEA menerusi acara lompat jauh (1985), 110 meter lari berpagar (1985) dan decathlon (1983 dan 1981) selain memecah rekod Sukan SEA pada 1985 dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59m serta 110m lari berpagar.

17. AZEEM FAHMI & SHEREEN SAMSON VALLABOUY MENYINAR

Muhammad Azeem Fahmi menamatkan kemarau 41 tahun Malaysia untuk meraih pingat dalam acara 100 meter Sukan Asia sebaik menghadiahkan pingat gangsa.

Pelari remaja berusia 19 tahun itu mencatat kepantasan 10.11 saat untuk memenangi gangsa hanya dalam penampilan pertamanya di temasya empat tahun sekali itu.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 100m ialah menerusi Rabuan Pit pada 1982 di Delhi, India.

Shereen Samson Vallabouy turut mencuri perhatian selepas dia raih gangsa dalam acara 400 meter Sukan Asia lalu selain turut cemerlang membantu kuartet 4x100m wanita meraih gangsa di temasya yang sama.

16. ISU PADANG SNBJ

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akhirnya tampil memohon maaf kepada seluruh penggiat dan peminat bola sepak tempatan khususnya pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

Ia susulan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang jelas tidak berada pada kondisi terbaik ketika aksi final Piala Malaysia itu hanya berbaki 24 jam.

PSM turut memohon maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan penganjur saingan Piala Malaysia 2023 selain akui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.

 
15. SENSASI SIVASANGARI

Pemain skuasy negara, S. Sivasangari bangkit daripada kemalangan yang mencetus persoalan kepada masa depan kariernya sebulan sebelum temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 berlangsung.

Sivasangari bangkit daripada ketinggalan untuk pastikan kem skuasy hadiakan emas bermakna Sukan Asia selepas menundukkan juara bertahan, Hong Kong 2-1 untuk kembali merampas semua gelaran juara.

14. JOHANN GHAZALI

Jaguh muay thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar membuktikan kejaguhannya apabila menewaskan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares dalam penampilan sulungnya di pentas Primetime US, ONE Championship dengan dia hanya perlukan 36 saat untuk menumpaskan Tabares dengan pukulan ‘knockout’ (KO) pada pusingan pertama dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand.

Johan sebelum ini melakar sejarah apabila berjaya mendapatkan kontrak ONE Championship Thailand bernilai AS$100,000 (RM467,000), selepas menumpaskan petarung Rusia, Temirlan Bekmurzaev secara knockout (KO) dalam ONE Championship Thailand.

Pencapaian ini menyaksikan dia menjadi ahli sukan termuda dalam kelasnya meraih kejayaan tersebut.
 
13. RALLY PEARLY-THINAAH TARAF DUNIA

Rekod dunia tercipta di gelanggang badminton Perodua Masters Malaysia dalam acara beregu wanita antara pasangan negara, Pearly Tan dan M. Thinaah bertemu wakil Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto.

Rally terpanjang sebanyak 211 pukulan terhasil pada ketika pasangan negara sedang mendahalui lawan, 16-14 di set penentuan untuk mendapat mata ke-17 mereka.

12. NOVAK DJOKOVIC GRAND SLAM KING

Novak Djokovic cemerlang tambah koleksi grand slamnya tahun ini selepas muncul juara Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat sekaligus pastikan dia memahat rekod 24 gelaran grand slam dalam sejarah tenis dunia.

Pada usia 36 tahun, The Joker ini hanya kalah sekali sahaja di final saingan Wimbledon dimana dia tumbang di tangan sensasi Sepanyol, Carlos Alcaraz.



11. TAMMY TAN EMAS PERTAMA UNIVERSIADE

Atlet wushu negara, Tammy Tan melakar sejarah apabila menamatkan penantian 38 tahun untuk meraih pingat emas pertama Malaysia, pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China.

Dia ungguli acara Qiangshu wanita, selepas mencatat 9.613 mata.-ADVERTISEMENT-

Pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini ialah kejayaan membawa pulang tiga perak dan empat gangsa daripada edisi 2017 di Taiwan.

10. PIALA DUNIA WANITA + CIUM

Sepanyol lakar sejarah tersendiri dengan kemenangan pertama dalam saingan Piala Dunia Wanita selepas menundukkan England 1-0 di final.

Namun sayangnya cerita kemenangan La Roja ini diselubungi cerita kontroversi ‘Word Cup Kiss’ diantara Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales dan Jenni Hermoso yang menimbulkan pelbagai reaksi sehingga membawa kepada pengunduran Rubiales dengan dia di kenakan penggantungan tiga tahun oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia, FIFA.

9. MANCHESTER CITY : 5 TROFI 2023

Manchester City julang lima trofi musim 2023! Selepas mendakap gelaran treble Liga Perdana Inggeris, pastikan gelaran di pentas Piala FA, dan yang paling penting julang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kalinya dalam sejarah kelab selain The Citizen raih gelaran Piala Super UEFA dan terkini mendakap trofi Piala Dunia Kelab FIFA yang juga

merupakan kemenangan pertama City dalam kejohanan itu selepas mereka menundukkan Fluminense 4-0.

Terbukti kehebatan acuan Pep Guardiola bersama anak buahnya menyaksikan dia menjadi pengurus pertama yang menang empat trofi di saingan Piala Dunia Kelab FIFA.

Juga menjadikan City kelab pertama Inggeris yang menjulang lima trofi dalam setahun selain merupakan trofi utama ke-16 buat Guardiola bersama City sejak 2016.



8. MAX VERSTAPPEN JUARA F1 KALI KETIGA

Max Verstappen tiada masalah untuk pertahan gelaran buat kali ketiga berturut-turut untuk masukkan nama dia dalam kelompok ‘Stellar League of Champion’ bersama-sama Niki Lauda dan Jackie Stewart.

Verstappen juga pecahkan rekod kemenangan terbanyak dalam semusim dengan 19 kemenangan -- 10 kemenangan berturut-turut dilakarnya selain mencatat catatan mata terbanyak semusim dengan 575 mata.

7. PIALA DUNIA RAGBI : GELARAN KEEMPAT AFRIKA SELATAN

Pertemuan final paling epik dalam sejarah sukan ragbi dengan hanya satu mata menjadi pemisah kemenangan Afrika Selatan ke atas New Zealand dalam saingan final Piala Dunia.

Sungguh mendebarkan dan mengujakan dengan The Springboks cemerlang mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu selain mencetak gelaran keempat Piala Dunia.

Belum pernah ada pasukan yang memahat empat gelaran juara Piala Dunia setakat ini. Afrika Selatan lah yang pertama.



6. NATASHA ROSLAN JUARA DUNIA

Bendera Jalur Gemilang sekali lagi berkibar megah di Salmiya, Kuwait setelah atlet tenpin bowling negara, Natasha Roslan dinobatkan sebagai juara dunia di Kejohanan Tenpin Bowling Dunia.

Natasha berjaya menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane dengan keputusan 259-194, 162-238, 185-165 dalam aksi akhir individu wanita yang berlangsung di Pusat Boling Kuwait.

Kejayaan ini menyaksikan Natasha menjadi rakyat Malaysia ketiga yang berjaya merangkul gelaran juara dunia untuk kategori tersebut selepas Esther Cheah memenanginya pada 2005 di Aalborg, disusuli Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.

5. AIN & ALEENA HAPUS BADI 15 TAHUN

Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi yang mempamer aksi cemerlang apabila muncul juara di Kejohanan Boling Padang Dunia biarpun kali pertama menyertai kejohanan yang berlangsung di Gold Coast, Australia.

Kejayaan itu juga merupakan pencapaian bersejarah buat Malaysia apabila menamatkan kemarau 15 tahun untuk memenangi pingat emas pertama sejak acara wanita dipertandingan di Kejohanan Dunia pada 1969.

Pasangan negara itu menewaskan lawan Rebecca Rixon-Connie Leigh Rixon dari Malta 15-11 dalam acara pairs wanita yang berlangsung di Broadbeach Bowls Club.

4. QABIL AMBAK CIPTA SEJARAH SUKAN ASIA

Sejarah baharu tercipta di bumi China selepas jaguh ekuestrian negara, Mohd. Qabil Ambak Mahamad Fathil memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou menerusi acara dressage individu di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Ia merupakan pingat emas pertama Malaysia bagi sukan ekuestrian dalam sejarah penganjuran Sukan Asia sejak acara itu mula diperkenalkan pada edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan.

Persembahan Qabil, 43 tahun bersama kudanya, Rosenstolz di saingan akhir Intermediate I Freestyle itu dilihat begitu sempurna sehingga menyaksikan para juri terpesona dan memberikan 75.780 mata.

3. GELARAN ‘DOUBLE QUADRUPLE’ JDT

Dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencatatkan musim yang sempurna dalam saingan domestik apabila menyapu bersih kesemua empat piala yang ditawarkan.

Bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada awal musim, JDT kemudian berjaya mengekalkan kejuaraan Piala FA pada Julai lalu, dan mengesahkan kejuaraan Liga Super pada September lalu.

Kejuaraan Piala Malaysia 2023 ini juga menyaksikan JDT unggul meraih gelaran ‘quadruple’ buat dua musim berturut-turut atau ‘double quadruple’.

2. MIKE MAHEN JUARA DUNIA KALI KEENAM

Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah menambah koleksi gelaran dunia kali keenam pada Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan.

Kejayaan itu secara tidak langsung membolehkan Syarul atau lebih mesra disapa Mike mempertahankan gelaran yang diraihnya tahun lalu di Phuket, Thailand selepas turut memastikan lagu Negaraku berkumandang pada tahun 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2022.

Kejayaan merangkul pingat emas dunia dalam acara 'athletic physique' 167sm itu hadir selepas Syarul meraih gelaran Asia pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik di Kathmandu, Nepal, September lalu.

Gelaran Asia itu juga adalah yang keenam buat dirinya selepas 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019 dengan penyertaan tahun lalu dia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

1. SENSASI HARIMAU MALAYA

Skuad Harimau Malaya meniti perjalanan penuh berliku tahun 2023. Gemilang menempatkan diri ke pentas Piala Asia 2024 sekaligus menamatkan penantian 42 tahun Malaysia untuk beraksi di kejohanan yang bakal berlangsung di Qatar 15 Januari ini memaksa anak buah Kim Pan Gon melunas misi juara di Piala Mitsubishi AFF.

Misi gagal selepas Thailand menjadi pemusnah untuk Malaysia terkandas di separuh akhir, namun bangkit mencatat empat kemenangan dan dua seri di aksi persahabatan menuju saingan Pesta Bola Merdeka yang juga memaksa pasukan negara akur bergelar naib juara.

Namun kehampaan itu ditebus kem negara dengan mencatat nota kemenangan dalam dua aksi peringkat Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 untuk kalendar 2023 berakhir dengan kemanisan sekaligus menyaksikan Harimau Malaya mengisi ranking terbaik dunia – tangga ke-130!

 

Advertisement

Must Watch Video