Pemain nombor dua dunia, Christo Popov, memuji persembahan luar biasa Lee Zii Jia selepas pemain Malaysia itu menewaskannya dengan selesa 21-11, 21-16 untuk mara ke separuh akhir acara perseorangan lelaki Terbuka Artik.
"Dia sangat tajam dalam setiap aspek dan menyukarkan saya untuk mencari rentak permainan.
"Terdapat kira-kira 15 pukulan yang saya sangka akan keluar, tetapi akhirnya masuk ke dalam gelanggang.
"Tahap ketajaman permainannya hari ini sungguh luar biasa.
"Dia bermain seperti pemain kelompok 10 terbaik dunia.
"Saya gembira melihatnya kembali bermain pada tahap yang tinggi," kata Popov.
Seperti yang dinyatakan oleh jaguh Perancis itu, Zii Jia -- yang kini menghuni ranking ke-56 dunia -- sekali lagi mempamerkan aksi hebat hari dengan memanfaatkan rejaman yang sangat berkesan.
Namun, lebih daripada itu, kesabaran dan ketepatan pukulan Zii Jia terbukti terlalu sukar untuk ditangani oleh lawannya, yang langsung tidak mempunyai jawapan untuk menandingi corak permainannya.
Sudah tentu, Zii Jia berasa gembira dengan persembahannya itu.
"Saya memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini.
"Seronok dapat kembali bermain dengan baik di tempat di mana saya pernah muncul juara sebelum ini," kata juara edisi 2023 itu.
Zii Jia kini akan berdepan sama ada Hu Zhe An dari China atau Anders Antonsen dari Denmark di peringkat separuh akhir.
Ini merupakan penampilan separuh akhir kedua pemain berumur 28 tahun itu pada tahun ini selepas turut mara ke kelompok babak empat terbaik Terbuka Kanada.