Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Thailand kekalkan penguasaan

takraw-lelaki.jpg
Jurang daripada segi kualiti mentaliti masih menghantui kem sepak takraw negara apabila harus berpuas hati merangkul pingat perak dalam final acara regu berpasukan Sukan Asia Jakarta-Palembang, sebentar tadi. 

Keampuhan Thailand yang mempamerkan watak juara untuk menang 2-0, secara tidak langsung menyekat Malaysia untuk mengulangi kejayaan 1990.

Regu pertama yang ditunjang Syazreenqamar Salehan, Zulkifli Abd Razak dan Norhaffizi Abd Razak tercari-cari rentak pada permulaan permainan. 

Walaupun ketinggalan, mereka bangkit memberi saingan, namun kehilangan fokus pada penghujung saingan memakan diri untuk tewas 15-21, 15-21. 

Taruhan kedua Malaysia yang dibarisi Mohamad Azlan Alias, Farhan Adam dan Syahir Rosdi pada awalnya garang memberikan saingan kepada Thailand yang bertunjangkan perejam terbaik, Pornchai Kaokaew.

Namun, mereka memberi ruang kepada lawan untuk mengejar kedudukan sebelum meraih kemenangan yang menyaksikan mata akhir mencetuskan bantahan kem Malaysia kerana rejaman Azlan didakwa terkena tangan lawan yang sedang membuat hadangan untuk tewas 19-21. 

Bermula detik itu, barisan negara bagaikan hilang punca untuk bangkit daripada kekecewaan set awal apabila mempamerkan aksi longlai untuk tewas 13-21.

Namun, apa yang lebih mengecewakan, servis Syahir sering terkandas di jaring pada saat-saat genting, termasuk ketika mendahului ketika menghampiri mata penamat dalam set pertama.

"Kami sedikit pun tidak sedih kerana kami telah buat yang terbaik.

"Kami tahu Thailand bukan mudah untuk dikalahkan, jadi kami menikmati pertarungan. 

"Menang atau kalah, tetap Alhamdulillah. Kalau kalah, kami cuba berusaha lebih baik lagi untuk menewaskan Thailand," kata Syahir, yang jelas bukan berada di hari terbaiknya.

Advertisement

Must Watch Video