Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Skuad wanita beraksi di bawah tahap sebenar

takraw-wanita.jpg
Sekalipun sekadar perlawanan pelengkap jadual, jurulatih sepak takraw wanita, Mohd Fikri Mohd Nor, tidak dapat menerima hakikat barisan pemainnya tewas 0-3 kepada tuan rumah, Indonesia, dalam aksi regu berpasukan, terutama regu kedua yang beraksi di bawah tahap sebenar di Dewan Ranau, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, hari ini.

Ruang untuk Malaysia melangkah ke pusingan separuh akhir sudah pun tertutup setelah mengalami kekalahan kepada Vietnam dan Myanmar sebelum kembali mendapat moral di atas kemenangan berdepan Jepun semalam.

Seharusnya pertemuan terakhir menentang Indonesia itu dilihat sebagai misi menjaga maruah negara tetapi perkara sebaliknya berlaku.

Ia terutama apabila barisan regu kedua negara yang dibarisi tekong, Siti Nor Suhaida Jafri; apit kiri, Nor Farhana Ismail, dan perejam, Nurul Izzatul Hikmah Md Zulkifli, longlai diratah pemain Indonesia sehingga kecundang dengan keputusan 5-21, 8-21.

Sementara itu, regu pertama negara tumpas 21-19, 16-21, 8-21 manakala regu ketiga pula tewas 13-21, 17-21.

"Kami sedar regu kedua Indonesia adalah regu utama mereka. 

"Tetapi, tahap permainan anak buah saya tidak sampai ke tahap seperti yang sepatutnya mereka mampu lakukan.

"Mereka sepatutnya boleh bermain dengan lebih baik lagi, mereka bagaikan hilang hala tuju ketika bertemu Indonesia," kata Fikri.

Skuad wanita Malaysia kini terpaksa bersandarkan kepada satu lagi acara, kuadran berpasukan, pada 28 Ogos ini untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat. 

"Kita perlu terima hakikat telah mendapat undian kumpulan yang rata-rata dibarisi pasukan yang baik. 

"Tumpuan kami akan beralih ke acara kuadran pula," tambahnya. 

Dalam pada itu, di kem Indonesia, meskipun turut gagal mara ke peringkat separuh akhir, sekurang-kurangnya meraih kemenangan moral apabila dapat membalas kekecewaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ia susulan kontroversi membabitkan keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah sehingga Indonesia mengambil keputusan menarik diri ketika perlawanan menentang Malaysia tahun lalu.

 

Advertisement

Must Watch Video