Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Skuad negara akui hilang fokus

takraw-2.jpg
Kemarau 28 tahun emas acara sepak takraw dalam Sukan Asia terus berpanjangan setelah skuad negara bagaikan hilang punca ketika berdepan juara bertahan, Thailand, dalam aksi final regu berpasukan di Kompleks Sukan Jakabaring, hari ini.

Ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad, mengekalkan strategi yang sama dengan menurunkan Syazreewamar Salehan berganding dengan Zulkifli Abd Razak dan perejam, Norhafizi Abd Razak.

Mereka bertiga bermula dengan goyah pada awal permainan, namun kembali mengejar dari belakang sebelum tumpas set pertama 15-21.

Perejam Thailand, Anuwat Chaicana, menjadi pemusnah apabila libasannya sentiasa membuahkan mata untuk Thailand.

Cerita dalam set kedua juga serupa biarpun perejam muda, Noraizat Mohd Nordin, dimasukkan untuk menggantikan tempat Norhafizi untuk Malaysia tunduk dengan keputusan 15-21.

Regu kedua Malaysia yang ditunjangi Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias cuba memberikan tentangan dan untuk seketika mendahului Thailand, namun dipintas pada saat-saat akhir setelah Thailand menang 21-19.

Malaysia cuba memprotes mata terakhir Thailand setelah mendakwa bola libasan Azlan terkena tangan tekong Thailand, Siriwat Sakha, namun tidak diendahkan pengadil. 

Ia dilihat menjadi titik tolak kejatuhan skuad negara apabila pemain hilang fokus sehingga Thailand mudah menoktahkan kemenangan 21-13.

Ini bermakna Thailand sudah pun mempertahankan emas acara regu berpasukan enam edisi berturut-turut sejak 1998 di Bangkok.

"Selepas bola libasan Azlan terkena tangan pemain lawan dan tidak dihiraukan pengadil, ia sedikit mengganggu tumpuan kami," kata tekong negara, Syahir Rosdi, yang sebelum itu gagal memanfaatkan mata akhir dalam set pertama dengan servisnya yang sering terkandas di jaring.

Jurulatih negara pula menyimpulkan: "Thailand mengambil kesempatan di atas kesilapan kami. 

"Tetapi, pemain (kita) bersemangat dan sudah sedaya-upaya untuk mencapai kemenangan."

Namun, hakikatnya Thailand adalah pasukan yang lebih baik dalam menyerap tekanan di samping tidak mudah mengalah ketika kedudukan genting.

Advertisement

Must Watch Video