Skip to main content

Sukan Asia

Takraw: Malaysia terus dibantah, Norza yakin keselamatan di Palembang

takraw-2.jpg
Taktik kotor menerusi provokasi daripada Indonesia berterusan terhadap skuad sepak takraw negara yang dibenarkan bermain dalam acara antara regu apabila turut menghalang Malaysia menggunakan gelanggang latihan.

Perkembangan terkini menyaksikan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, memberi pengesahan tidak akan ada perubahan terhadap keputusan menyenaraikan Malaysia dalam acara antara regu walaupun wujud tekanan buat badan induk itu untuk tidak membenarkan Malaysia beraksi dalam saingan yang tidak menampilkan Thailand.

Difahamkanm surat protes daripada lapan negara lain yang bertanding dalam acara tersebut turut disampaikan kepada ASTAF.

Jadual bagi penggunaan gelanggang latihan juga sudah dikemas kini sambil perincian keselamatan di venue pertandingan turut diperketatkan sebelum saingan regu dijadualkan untuk membuka tirai esok.

"Sewaktu skuad Malaysia berlatih, lampu dipadamkan dan tidak dibenar meneruskan sesi latihan. Dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan jadual latihan untuk membolehkan semua negara berlatih sehingga kejohanan tamat.

"Memang terdapat beberapa halangan yang hadir dan kami sedang memantau, iaitu ada sesetengah negara masih tidak mahu membenarkan Malaysia beraksi. 

"Bagaimanapun, ASTAF telah membuat keputusan untuk membenarkan Malaysia menyertai acara regu," ujar Halim.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyarankan kepada skuad sepak takraw Malaysia agar tidak perlu gentar dengan sebarang provokasi tuan rumah.

Bagi Norza, Malaysia tidak perlu risau kerana ASTAF bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia (INASGOC) sudah memberi pelepasan untuk Malaysia beraksi dalam acara antara regu.

Indonesia pula dilihat bersungguh-sungguh memprotes kerana mereka juga mengidam kilauan emas dalam acara antara regu memandangkan jaguh dunia, Thailand, tidak melakukan penampilan dalam acara tersebut.

"Saya rasa menjadi satu lumrah apabila pesaing-pesaing menyatakan rasa tidak puas hati, namun hubungan Malaysia, Indonesia dan Majlis Olimpik Asia (OCA) berbincang dengan semangat persaudaraan," kata Norza.

Dalam masa sama, Norza juga menjelaskan barisan pemain negara tidak perlu risau dengan keselamatan peribadi kerana keadaan di Palembang lebih aman jika dibandingkan dengan Jakarta. 

Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSTI), Asnawi Rachman, sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa keadaan pasti akan kelam-kabut di Kompleks Sukan Ranau setelah ASTAF mengumumkan kemasukan skuad Malaysia ketika mesyuarat pengurusan, baru-baru ini. 

"Contohnya, baru-baru ini, kami juga telah berdepan Indonesia dan keadaan berlangsung dengan baik. Seperti yang saya katakan, keadaan di Palembang sentiasa lancar dan saya yakin ia akan berterusan."

Advertisement

Must Watch Video