Skip to main content

Olimpik

Syakilla sasar slot ke Tokyo 2020

syakil.jpg
Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefri Krisnan, berkata misi paling besar buat dirinya tahun ini ialah memenangi Kejohanan Dunia di Sepanyol pada November depan yang menjadi kriteria penting jika mahu menempah tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syakilla, yang berada di ranking kedua Liga Premier Karate1 dan ketujuh dunia dalam kategori bawah 55 kilogram, mengakui semakin berdebar menanti saingan paling penting dalam kariernya itu.

Kejohanan yang diadakan dua tahun sekali itu memberi tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo kepada Syakilla jika berjaya mara ke final.

Justeru, selepas tamat saingan Sukan Asia Indonesia, tiada tempoh berehat buat Syakilla kerana perlu kekal fokus dalam melakukan persiapan menghadapi saingan di Sepanyol pula.

"Kejohanan Dunia, November ini, adalah sangat penting kerana dua slot ke Sukan Olimpik diberikan kepada finalis dan saya mahu memberikan yang terbaik," kata Syakilla.

Atlet kumite lelaki, R. Sharmendran, pula mahu membuktikan sesuatu di Indonesia walaupun ramai pihak berasakan atlet negara tidak memiliki kelebihan dalam kategori badan lebih berat.

Walaupun menyedari acara itu acap kali didominasi atlet dari Iran dan Jepun, Sharmendran mahu membuktikan penguasaan itu akan meleset.

"Ia bukan melihat kepada saiz badan tetapi semangat. Beberapa atlet senior pernah meraih kejayaan dalam kejohanan terdahulu dan saya mahu melakukan perkara yang sama," kata Sharmendran.

Advertisement

Must Watch Video