Harapan untuk melihat rekod pecut 100 meter wanita dipecahkan hanya disandarkan kepada Zaidatul Husniah Zulkifli, kini cabaran yang dilaung pemegang rekod G Shanti turut disambut seorang lagi pelari pecut negara, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal.

Nur Afrina menegaskan dia kini bersedia untuk menjadi salah seorang pelari pecut yang menggalas tanggungjawab ke arah misi pecah rekod berusia 31 tahun itu.

Jika ia berlaku, pelari berusia 20 tahun itu menyasarkan Sukan SEA Thailand adalah masa yang paling ideal untuk meleburkan rekod G Shanti.

Realitinya, Zaidatul mahupun Afrina, siapa yang berjaya memecahkan rekod itu kelak maka dialah ratu pecut negara yang baru.

"Kalau saya masih beraksi, sasaran saya adalah Sukan SEA seterusnya.

"Saya akan teruskan berlatih dan mungkin ada aspek yang boleh diperbaiki dan saya akan dapat nasihat jurulatih.

"Saya tidak boleh berjanji, tak boleh jangka prestasi pada tahun depan sebab kita tidak tahu apa yang akan terjadi.

"Kalau saya dilanda kecederaan pun kita tidak tahu (lagi) tapi saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Zaidatul Husniah pernah mengatasi rekod G Shanti pada 2017 menerusi catatan 11.36 saat, namun atas alasan bantuan angin, catatan itu tidak diiktiraf.