SUKAN LAIN
Sukma MSN: Tiga badang negara diletak 'beban kategori' lebih tinggi
Biarpun masih segar dengan kejayaan merangkul pingat emas serta perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, barisan atlet angkat berat negara yang diketuai Mohamad Aniq Kasdan masih aktif berlatih untuk mencapai prestasi optimum hingga penghujung tahun ini.
Jurulatih angkat berat negara, Yon Haryono, merangka pelan khas buat tiga badang negara yang terdiri daripada Aniq (61 kg), Erry Hidayat (73kg) dan Hafiz Shamsuddin demi melepasi cabaran yang ditetapkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) MSN, 16 September depan.
Aznil Bidin (61kg) turut dalam rangka program yang ditetapkan jurulatih itu dalam misi ke Colombia.
Iklan
Individu yang bertanggungjawab mengekalkan tradisi kilauan pingat dalam temasya Sukan Komanwel itu menetapkan badang negara terpaksa beraksi dalam kategori jauh lebih berat dalam Sukma di Bukit Jalil kelak dengan jangkaan berdepan saingan lebih sengit.
"Mereka boleh menggunakan Sukma sebagai pemanas badan kerana sasaran mereka ialah menghadapi kejohanan dunia di Colombia.
"Saya harap ketiga-tiga yang lain juga tetap bermotivasi untuk mengikuti program saya, tidak boleh tinggalkan program dan fokus untuk ke Colombia," katanya di Bukit Jalil, hari ini.
Pendekatan yang dilakukan jurulatih dari Indonesia itu secara tidak langsung dapat mempersiapkan anak buahnya menghadapi kejohanan yang menawarkan kutipan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris di penghujung musim ini di Colombia.
Aniq memenangi emas kategori 55kg Sukan Komanwel dan berikutan Sukan Olimpik Paris tidak mempertandingkan kategori kegemarannya, 51kg, dia menyahut cabaran dengan beralih ke 61kg.
"Saya mahu Aniq dan Aznil dapat membuat angkatan paling sedikit 282kg.
"Selepas ini prestasi mereka harus naik kerana ada lima kejohanan untuk diharungi dan kemuncaknya mereka mungkin mencapai angkatan 290kg ke atas," katanya.
Must-Watch Video