Skip to main content

Sukan Lain

Sukma 2020: Senarai sukan dimuktamad bulan depan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sukma-hoki-sabah.jpg
Senarai acara sukan yang bakal dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 di Johor dari 11 hingga 19 Julai 2020 akan dimuktamadkan bulan depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata kesemua sukan akan diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Sukma, termasuk angkat berat yang masih berstatus dalam kajian untuk perhatian lanjut.

"Sukan angkat berat seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) masih lagi KIV, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

"MSN dan Urusetia Sukma sendiri telah diberi amanah untuk berbincang dengan PABM, beberapa langkah positif sudah diambil. Insya-Allah kami akan bentangkan semula kepada jawatankuasa pada bulan depan untuk diputuskan sama ada angkat berat akan dimasukkan atau tidak dalam Sukma 2020," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Logo dan Maskot SUKMA XX Johor 2020 yang dilakukan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, di sebuah hotel di Senai, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata beberapa cadangan lain juga akan dikemukakan kepada pihak urusetia dan dibawa kepada jawatankuasa terbabit untuk diputuskan.

Bulan lepas, Syed Saddiq dilaporkan berkata kedudukan sukan angkat berat dalam SUKMA 2020 masih samar dan diletakkan di bawah status 'KIV’ (untuk perhatian lanjut) oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020.

Syed Saddiq berkata jawatankuasa itu hendak memastikan sukan angkat berat bebas daripada isu doping kerana setiap tahun ada sahaja atlet angkat berat terpalit dengan isu tersebut.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video