OLAHRAGA
Sukan SEA Thailand: Skuad karate sedia jadi lubuk emas
"Kalau ada 20 kategori, kesemua 20 pingat emas itu juga saya nak."
Demikian tekad yang diluahkan pemangku ketua jurulatih karate negara, R. Sharmendran yang percaya skuad bimbingannya masih layak memegang julukan sebagai lubuk emas kontinjen malaysia dalam Sukan SEA Thailand, Disember depan.
Meskipun Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) masih belum meletakkan sebarang sasaran khusus ke atas dirinya tetapi jaguh negara itu percaya, kem negara tidak akan berdepan masalah jika dinilai dominasi kuasa besar Malaysia di rantau ASEAN.
Iklan
"Apabila kami menghantar atlet menyertai sesuatu kejohanan, dia haruslah memenangi sesuatu.
"Ini bukan lagi pentas ujian, skuad karate mempunyai rekod cemerlang dalam Sukan SEA.
"MAKAF banyak membantu dan kami gembira," katanya.
Semangat juang yang ditunjukkan pemenang pingat emas empat kali Sukan SEA itu jelas bertujuan untuk memastikan kem negara terus berdiri di landasan terbaik terutama selepas dia memilih untuk menumpukan lebih fokus kepada tugasan negara berbanding penubuhan akademinya sendiri.
Terdahulu, Sharmendran secara rasmi mengumumkan penubuhan Kibokan Karate School yang akan fokus kepada pembangunan akar umbi.
"Ia sedang menjalani proses ubah suai jadi saya lebih fokus kepada program kebangsaan," katanya.
Must-Watch Video