Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA Thailand: Malaysia berisiko hilang dua lubuk emas utama

nazifuddin.jpg
Misi untuk memulihkan imej di pentas Sukan SEA tampak sukar buat kontinjen negara apabila berdepan risiko kehilangan dua lubuk emas utama dalam temasya di Thailand tahun depan.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, mengesahkan karate dan wushu antara sukan yang tidak dimasukkan dalam senarai awal untuk edisi kali ini.

Nazifudin berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) membabitkan 11 negara pada Sabtu lalu.

Selain dua sukan berkenaan, boling padang dan angkat berat juga tiada dalam senarai awal untuk dipertandingkan dalam temasya kali ini.

Begitupun, setiap negara diberi tempoh sehingga hujung bulan depan untuk membuat rayuan berhubung perkara itu.

"Apa yang disenaraikan ialah lebih kurang 40 jenis sukan, di mana sukan utama yang tiada dalam senarai itu ialah wushu, karate, boling padang dan angkat berat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Selain itu, kami sudah menerima rayuan daripada bina badan.

"Jadi, kami akan berbincang persatuan sukan kita untuk membuat rayuan sebelum senarai muktamad akan dikeluarkan oleh tuan rumah, Thailand pada hujung tahun ini."

Kontinjen negara berdepan detik hitam dalam Sukan SEA Kemboja tahun lalu apabila gagal mencapai sasaran 40 pingat emas.

Sebaliknya, kontinjen negara sekadar meraih 34 pingat emas dan menamatkan cabaran di tempat ketujuh keseluruhan.

Ia adalah pencapaian terburuk Malaysia di pentas Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak temasya di Hanoi, Vietnam pada 2003.

Namun, ketika temasya di Thailand menjadi platform terbaik untuk menebus kekecewaan itu, situasi berbeza pula melanda kem negara.

"Memang kami melihat ada banyak peluang kita untuk meraih pingat dalam sukan yang tidak dipertandingkan itu.

"Tetapi ia masih belum senarai muktamad oleh Thailand dan kami memang sedang berbincang untuk menambah sukan lagi seperti angkat berat, yang memang sedang dipertimbangkan Thailand, cuma isunya doping dan mereka juga sedang mencari jalan untuk mengatasinya," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video