Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad tenis enggan terus suram

tenis-malaysia-150717.jpg
Skuad tenis negara mengakui mereka berdepan misi mustahil dalam menamatkan kemarau penantian pingat emas yang kali terakhir dimenangi 44 tahun lalu dalam Sukan SEAP Singapura 1973 menerusi Radhika Menon dan Lim Kheow Suen dalam acara beregu wanita.

Sudah terlalu lama sukan tenis terpinggir daripada sebarang kemasyhuran dengan tiada sebarang pencapaian diraih atlet negara.

Kekuatan pesaing serantau seperti Thailand, Filipina dan Indonesia berbanding pasukan negara seperti langit dengan bumi jika dilihat daripada segi kedudukan ranking.

Menurut jurulatih tenis negara, Muliadi Jamal, kekurangan pendedahan bagi pemain-pemainnya menjadi penghalang utama untuk mereka pergi lebih jauh.

Berbanding pesaing lain, kebanyakan mereka sudah ada pengalaman bermain di pentas tertinggi, termasuk dalam kejohanan grand slam.

"Dua tahun lalu dalam acara berpasukan kita mendapat pingat gangsa. Jadi, saya berharap sangat agar kami dapat pergi lebih jauh," ujar Muliadi.

Taruhan terbaik skuad negara sekali lagi bakal dipikul pemain-pemain berpengalaman, Jawariah Nordin dan pasangannya, S. Theviya.

Berdasarkan prestasi terkini, termasuk layak ke suku akhir dalam satu kejohanan di Mesir, mereka berdua menjadi harapan untuk mara sekurang-kurangnya ke pentas akhir.

"Buat masa ini, kami akan memberikan yang terbaik, terutama dalam merebut pingat emas.

"Jawariah adalah pemain no.1 Malaysia, jadi menjadi pasangannya menyuntik keyakinan dalam diri saya," jelas Theviya.

Bagi kategori lelaki, peluang dijangka lebih sukar apabila disahkan bintang Indonesia, Christopher Rungkat -- yang berada di ranking 463 dunia -- serta pemain berbakat Vietnam, Ly Hoang Nam -- yang menduduki ranking 475 -- bakal beraksi dalam acara perseorangan.

Acara beregu lelaki pula bakal diwarnai kehadiran pasangan terkenal Thailand, Sanchai dan Sonchat Ratiwatana, yang menduduki ranking ke-94 dalam Jelajah Dunia ATP.

Bagaimanapun, situasi itu tidak melemahkan semangat salah seorang pemain negara, Assri Merzuki, yang menyimpan impian untuk melakukan kejutan pada hari pertandingan.

Dia dijangka berpasangan dengan Syed Mohd Agil dalam acara beregu lelaki.

"Senario itu tidak mengganggu saya kerana beraksi di laman sendiri akan membakar semangat kami untuk menang. 

"Mereka (Sanchai/Sonchat) banyak beraksi dalam kejohanan luar berbanding kami. Jadi, perkara itu banyak memberi kesan terhadap ranking," kata Syed Mohd Agil.
 

Advertisement

Must Watch Video