Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad menembak berdepan tugas getir

070617menembak.jpg
Susulan isu kontroversi melanda sukan menembak negara, skuad menembak ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berdepan tugas getir untuk melakukan bidikan cemerlang dalam membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dalam temasya kali ini.

Skuad menembak negara menerima tamparan hebat beberapa bulan menjelang temasya KL2017.

Ini susulan empat penembak handalan negara -- Suryani Mohamed Taibi, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Muslifah Zulkifli dan Ezuan Nasir Khan-- digugurkan daripada Program Podium pada Februari lalu.

Keempat-empat atlet itu hilang keistimewaan sebagai atlet elit, malah terpaksa bersaing merebut tempat bersama penembak lain untuk menempatkan diri ke Sukan SEA.

Situasi ini jelas memberi gambaran betapa ranjau menanti skuad menembak negara untuk menjelmakan kilauan emas dalam temasya KL2017.

"Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana memilih saya untuk beraksi di Sukan SEA walaupun telah digugurkan daripada Program Podium," kata Ezuan.

Untuk rekod, skuad menembak negara meraih dua pingat emas, lapan perak dan enam gangsa dalam Sukan SEA Singapura 2015.

Emas disumbangkan Alia Sazana Azahari dalam acara 25 meter pistol wanita dan Nur Ayuni dalam acara 50 meter rifle tiga posisi.

Namun, menembak dalam temasya KL2017 hanya menawarkan acara individu setelah acara berpasukan tidak dipertandingkan.

"Saya berharap atlet-atlet yang menyertai Sukan SEA akan memberikan yang terbaik bagi mencapai sasaran yang telah diletakkan," kata jurulatih skuad menembak, Mohd Sabki Mohd Din.

Tampil dengan misi memperbaiki pencapaian tersebut untuk KL2017, sandaran kini diletakkan di bahu Ezuan, Suryani, Johnathan Wong dan Eddy Chew setelah mereka antara yang mempamer aksi memuaskan dalam beberapa kejohanan tahun ini.

"Saingan Asia Tenggara bukan lagi di peringkat bawahan, empat atlet yang telah beraksi di Sukan Olimpik akan bertanding bagi merebut pingat emas," kata Johnathan.

Sebagai persediaan mantap untuk menghadapi temasya KL2017, skuad menembak negara berguru di Korea Selatan dengan mengadakan latihan intensif serta menyertai dua pertandingan sepanjang 45 hari di sana.
 

Advertisement

Must Watch Video