Skuad bola tampar negara berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Kejohanan Piala Datuk Bandar 2017 selepas menewaskan pasukan kebangsaan Singapura 3-0, hari ini.
Malaysia memulakan aksi dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A dengan cemerlang dalam set pertama apabila mudah membenam Singapura 25-11.
Aksi berlangsung sengit dalam set kedua yang menyaksikan Singapura garang mengatasi mata tuan rumah, begitupun ia tidak kekal lama apabila Malaysia bangkit mengejar kedudukan bagi memastikan kemenangan dengan keputusan 25-23.
Dalam set seterusnya, skuad kendalian Tey Yeu Siong itu terus selesa mendahului untuk memberi tekanan kepada lawan apabila menguasai seluruh perlawanan, sekali gus menamatkan aksi 25-13.
Dua kemenangan di peringkat kumpulan selepas menewaskan Kelab Merpati dari Indonesia dan skuad kebangsaan Singapura meletakkan Malaysia sebagai juara Kumpulan A untuk mara ke suku akhir, esok.
Bagaimanapun, Yeu Siong menjangka aksi makin sukar buat anak buahnya mengharungi setiap perlawanan dalam misi untuk mara ke final.
"Saya nampak pemain-pemain negara mula mempamerkan peningkatan, namun mereka masih cetek pengalaman.
"Beberapa perkara yang saya harapkan belum kesampaian kerana mereka masih belum bersedia.
"Kita masih mempunyai beberapa bulan lagi untuk membuat persiapan.
"Kalau pemain-pemain fokus dan tekun berlatih, mereka mampu meningkatkan prestasi," katanya.
Shaiful Shamsudin
Fri Mar 10 2017