SUKAN LAIN
Sukan SEA: Langkawi beri kelebihan buat skuad pelayaran
Dua tahun lalu di Singapura, skuad pelayaran menjadi antara tunjang dalam menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sukan SEA negara.
Kini di laman sendiri, mampukah mereka meneruskan momentum itu, sekaligus membantu mencapai aspirasi negara untuk menjadi juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur, dari 19 hingga 30 Ogos depan?
Pelayaran tampil cemerlang di Kota Singa dengan membolot tujuh emas, lima perak dan dua gangsa untuk berada di belakang tuan rumah, Singapura, yang cemerlang dengan 10 emas, tujuh perak dan tiga gangsa.
Iklan
Pada ketika itu, ia boleh dianggap satu pencapaian yang hebat untuk skuad negara.
Namun, dalam edisi di Kuala Lumpur nanti, Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) hanya menetapkan sasaran sebanyak lima emas.
Ia dianggap satu pencapaian realistik memandangkan hanya 14 acara yang dipertandingkan kali ini berbanding 20 acara di Singapura.
"Kami menganggap sasaran itu boleh dicapai.
"Sebelum ini, dalam Sukan SEA Singapura, ada 20 acara dipertandingkan tetapi kali ini acara dikurangkan kepada 14.
"Oleh itu, kami menyasarkan lima emas," kata Setiausaha Kehormat MSA, Megat Fairuz Khairuddin.
Dari sudut persiapan atlet pula, skuad pelayaran masih mempertaruhkan barisan terbaik yang diketuai Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Latif.
Biarpun baru pulih daripada kecederaan ligamen lutut ACL, Khairulnizam tetap bersemangat untuk membawa cabaran negara dan membutirkan emas.
"Sukan SEA kali ini sangat istimewa kerana kita sebagai negara tuan rumah.
"Saya berpeluang beraksi di laman sendiri di mana ia merupakan gelanggang saya berlatih sejak kecil lagi.
"Ia sesuatu yang istimewa apabila saya dapat menyumbangkan pingat di laman sendiri.
"Angin di Dayang Bunting adalah sangat rumit. Pelayar perlu tahu arah, reaksi angin dan ombak.
"Ia memberi kelebihan kerana kami berlatih di sana setiap hari," katanya.
Begitu juga dengan Nur Shazrin yang mengidam emas menerusi acara kegemarannya, laser radial wanita.
Skuad negara dilihat mempunyai kelebihan memandangkan venue pertandingan akan dilangsungkan di perairan Langkawi yang juga merupakan tempat latihan bagi kem Malaysia.
"Beraksi di tempat sendiri di mana (angin) Langkawi tidak menentu memberi banyak kelebihan kepada kami.
"Cuma kami tidak boleh memandang rendah kemampuan negara lain," kata Nur Shazrin.
Must-Watch Video