Kem sepak takraw kebangsaan memperoleh suntikan semangat sebelum berangkat ke Kemboja selepas Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, mengumumkan akan ada durian runtuh sekiranya mereka mencapai sasaran yang ditetapkan.

Sumali percaya dengan persiapan rapi yang berlangsung sejak Mac lalu, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu mampu meraih keputusan positif dan tidak mustahil Malaysia mampu menamatkan badi dengan musuh tradisi, Thailand.

"Kami menjanjikan habuan yang baik buat skuad lelaki sekiranya dapat emas terutama mengalahkan Thailand.

"Pasukan beregu ada peluang mendapatkan pingat emas tapi kami tidak menjanjikan ke tahap itu.




"Apa yang penting kami berikan saingan sengit kepada Thailand.

"Pingat sudah tentu sebab untuk kategori ini hanya akan disertai tiga pasukan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

PSM turut berharap barisan pemain negara yang terpilih ke temasya dwitahunan itu membuktikan kredibiliti mereka dalam usaha mengembalikan status Malaysia sebagai gergasi rantau ini.

Dalam Sukan SEA Vietnam 2021, kontinjen negara Malaysia membawa pulang dengan tiga pingat perak serta dua gangsa.