Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Jupha tidak rela berputih mata lagi

jupha-somnet-290717.jpg
Atlet berbasikal wanita negara, Jupha Somnet, enggan insiden 2015 di Singapura berulang untuk menghalangnya menamatkan kemarau 12 tahun pingat emas acara lebuh raya wanita dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan. 

Dua tahun lalu di Singapura, Jupha dalam kedudukan terbaik untuk menamatkan kemarau emas dalam acara lebuh raya wanita selepas kali terakhir dimenangi Nor Azian Alias di Manila pada 2005. 

Namun, masalah teknikal akibat terlibat dengan perlanggaran ketika saingan hanya berbaki 200 meter lagi menyebabkan Jupha berputih mata dan terlepas peluang itu. 

Mujurlah rakan sepasukan, Nur Shuhada Zainal, berjaya membuat pecutan ke garisan penamat untuk menghadiahkan gangsa buat negara. 

"Pada masa itu, saya dilanggar dari belakang sehingga menyebabkan rantai basikal saya tercabut. 

"Jarak 200m itu agak singkat untuk saya melakukan pecutan dengan semua pencabar sedang melakukan henjutan sehingga menyebabkan saya tertinggal di belakang.

"Saya harap ia tidak berulang lagi di Kuala Lumpur," kata atlet dari Perlis itu. 

Selain memberi penekanan terhadap acara lebuh raya dalam Sukan SEA kali ini, Jupha turut menyasarkan emas dalam berbasikal trek acara omnium. 

Jurulatih berbasikal wanita negara, Muhammad Firdaus Daud, optimis anak buahnya itu mampu melaksanakan misi emas menerusi acara omnium tetapi dalam masa yang sama tetap berwaspada dengan ancaman barisan pelumba Thailand dan Vietnam. 

"Kami sememangnya menyasarkan pingat. 

"Kami perlu betul-betul bersedia.

"Berdasarkan prestasi lawan kami, peluang untuk kita menang itu memang cerah," kata Firdaus. 
 

Advertisement

Must Watch Video