Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Joshua, Natasha sandaran emas

lawan-pedang-300617.jpg
Sukan lawan pedang Malaysia sukar diramal dan berupaya menjadi pakej kejutan dalam misi Kita Juara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) dari 19 hingga 30 Ogos depan. 

Adakah sejarah sukan ini di pentas Sukan SEA berupaya menjadi ukuran bagi kempen kali ini?

Berbeza dengan sukan lain, lawan pedang tidak terbeban dengan legasi edisi 2001 memandangkan Malaysia tidak beraksi dalam acara itu. 

Sebaliknya, hanya empat negara berentap, dengan Indonesia dan Thailand berada dalam kelas tersendiri untuk mengatasi Filipina dan Singapura pada waktu itu. 

Kali terakhir Malaysia menggondol emas adalah dalam edisi 2011 di Indonesia, bukan satu tetapi dua emas menerusi berpasukan sabre lelaki dan individu epee lelaki. 

Emas epee lelaki menerusi Joshua Koh I-Jie diraikan sebagai satu kejutan memandangkan pada waktu itu dia berusia 21 tahun untuk menewaskan wakil tuan rumah dan peserta pilihan, Muhammad Haerullah. 

Dalam temasya Myanmar 2013, lawan pedang tidak dipertandingkan dengan skuad negara terpaksa menanti sehingga 2015 untuk berentap dengan seteru Asia Tenggara.

Hasilnya tidak seperti yang diidamkan dengan dua gangsa menjadi pulangan yang ketika itu ditunjangi Olimpian, Yu Peng Kean, dalam acara individu dan berpasukan sabre. 

Atas dasar itu, KL 2017 berupaya menyingkap lembaran baru buat lawan pedang Malaysia di pentas sukan dwi-tahunan ini dengan pelbagai senario menjadi latar belakang kempen kali ini. 

"Ia satu cabaran buat saya kerana perlu merampas emas yang pernah dimenangi. 

"Tekanan tetap sama bagi saya kerana perlu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan," kata Joshua. 

Dengan persaraan Peng Kean, beban kini jatuh di atas bahu dua atlet senior, Joshua dan tonggak foil wanita, Natasha Ezzra Abu Bakar. 

"Saya yakin rakan sepasukan, Joshua dan Natasha, serta atlet muda akan meraih sesuatu," ujar Peng Kean. 
 

Advertisement

Must Watch Video