Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA Hanoi: Penyertaan Hup Wei diluluskan

lee-hup-wei.jpg
Jaguh senior olahraga negara, Lee Hup Wei, menerima talian hayat untuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Hanoi yang bakal jadi penampilan terakhirnya sebelum bersara.

Ia susulan kebenaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk merombak nama wakil negara bagi acara lompat tinggi.

Peluang ini diberikan bagi membolehkannya yang akan bakal berusia 35 tahun itu mempertahankan pingat emas yang diraih pada 2019 lalu selain hanya pemegang rekod kebangsaan, Nauraj Singh, yang melepasi had kelayakan kategori A.

Sebelum ini atlet kelahiran Sabah, Eizlan Dahalan, dikatakan sebagai prospek untuk mengisi slot kedua ke temasya dwitahunan di Vietnam pada 12 hingga 23 Mei depan itu tetapi atlet berusia 22 tahun tersebut juga sama seperti Hup Wei, tidak melepasi had kelayakan merit.

Untuk rekod, olimpian itu telah meraih empat emas dalam Sukan SEA menerusi edisi 2007, 2009, 2011 dan 2019.

"Kami akan tunggu KOM memuktamadkan senarai atlet ke Sukan SEA yang tarikh akhirnya ditetapkan Sabtu ini.

"Kami tidak akan terima lagi sebarang keputusan selepas itu," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib.

Hup Wei amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan walaupun gagal menyerlahkan potensi sebenarnya dalam Terbuka Malaysia hujung minggu lalu ekoran masih diulit masalah hamstring. 

"Saya sudah lebih 50 peratus hampir pulih. Saya mula berlari jadi saya rasa tiada masalah untuk menghadapi Sukan SEA.

"Saya perlu melepasi setidak-tidaknya 2.20m baru berpeluang untuk pertahankan emas Sukan SEA," katanya yang mencatat rekod terbaik 2.29m, tiga tahun lalu.




Sementara itu, Zaidatul Husniah Zulkifli menyambut baik perlumbaan yang bakal diadakan pada 26 dan 27 Mac ini.

Dia bersama Azreen Nabila Alis, Siti Fatimah Mohamad, Nur Aishah Rofina Aling, Fatin Ilyana Mat Naya, S Komalam Sally dan Nor Sarah Hadi berpeluang untuk membentuk kuartet yang bakal mencabar 4x100 meter dalam Sukan SEA Hanoi. 

"Baguslah sebab kami boleh nilai lima pelari terbaik. Dalam Terbuka Malaysia minggu lalu, ada yang tidak mengambil bahagian termasuklah saya sendiri. 

"Atlet muda juga berpeluang untuk menilai prestasi mereka. Ia adil untuk semua pihak. 

"Walaupun sudah tersenarai, ia satu cabaran buat saya.

"Kalau dapat berlatih dengan baik, tiada masalah untuk kami merangkul pingat. Acara ini tiada masalah kalau kami dapat berlatih bersama-sama," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video