Pelumba CP125 I-Pone Yamaha YY Pang Racing Team, Raiyan Khardanee Sanusi, menyifatkan kemenangannya dalam pusingan keenam di LYL International Karting Circuit minggu lalu, menjadi tonik buatnya untuk lebih bersemangat dalam misi merebut podium bagi dua baki perlumbaan musim ini.
Pelumba berusia 18 tahun itu menjelaskan bahawa misi dalam musim debutnya ialah menempatkan diri dalam kelompok lima pelumba terbaik secara keseluruhan.
"Saya akan cuba perbaiki serta beraksi dengan lebih baik untuk baki dua perlumbaan ini kerana pasukan telah berikan segala-galanya untuk saya," ujar Raiyan.
Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2026 bakal memasuki pusingan ketujuh yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan), pada Sabtu dan Ahad ini.