Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA Hanoi: Nur Azmi terkilan skuad petanque tidak tersenarai

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

petanque.jpg
Ketua Kontinjen Negara Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad, mengakui sedikit terkilan dan kecewa dengan perkembangan skuad petanque yang dikhabarkan tidak disenaraikan dalam saingan Sukan SEA kali ini.

Difahamkan situasi itu berpunca daripada permainan politik di peringkat pengurusan sehingga merencatkan sasaran pingat kontinjen negara -- atas faktor itu, Nur Azmi, memberi jaminan untuk menyelesaikan permasalahan itu.

Nada ketegasan Nur Azmi ada rasionalnya kerana berdasarkan rekod sukan petanque -- berjaya membutirkan empat pingat di Sukan SEA 2019 menerusi satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

"Kami akan berusaha untuk memastikan skuad petanque negara dapat beraksi dalam Sukan SEA dan membutirkan pingat untuk kontinjen negara," katanya menerusi Nadi Arena.

"Isu teknikal ini adalah perkara yang biasa berlaku tetapi permasalah yang dihadapi adalah antara persatuan. Paling penting adalah pungutan pingat untuk negara dan berharap ia dapat diselesaikan."

Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengharapkan bakal ada keajaiban saat akhir untuk skuad petanque bertanding di Sukan SEA Vietnam setelah tiada nama atlet Malaysia dalam jadual pertandingan.

Sehingga kini masih belum ada kata putus mengenai status penyertaan Malaysia, setelah berlaku kekeliruan pihak penganjur.

Sebelum ini berlaku konflik dalam Persatuan Petanque Malaysia sehingga digantung badan dunia, menyaksikan atlet petanque negara diletakkan di bawah panji MOM untuk bertanding dalam temasya dwitahunan itu.

MOM sudah pun mengusulkan rayuan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan dijangka keputusannya akan diketahui minggu ini.

Advertisement

Must Watch Video