Pasukan petanque negara mahu memperbaiki pencapaian edisi lalu apabila menyasarkan dua pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi yang bermula dari 12-23 Mei depan.

Tiga tahun lalu di Manila, kontinjen petanque Malaysia meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa.

Kejayaan negara di Filipina hadir menerusi pasukan 'triples' lelaki yang dibarisi Muhamad Hafizudin Mat Daud, Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Saiful Bahri Musmin.

Tapi ia merupakan jumlah terendah jika dibandingkan dengan habuan yang berjaya diraih dalam empat edisi terdahulu.

"Perkara pertama ialah kami perlu melawan diri sendiri terlebih dahulu, dapatkan ketenangan.

"Kemudian sokongan daripada rakan sepasukan dan ia boleh membantu kejayaan kami dalam Sukan SEA Hanoi," kata pemenang dua emas, Hafizuddin.

Tuan rumah menambah empat kategori berbanding penganjuran di Manila, secara tidak langsung meningkatkan peluang negara untuk menggondol emas.

"Mungkin di Vietnam kami dapat selesaikan dengan dua emas dan enam gangsa. Malah, mungkin juga ada pertambahan emas.

"Kami sasarkan emas menerusi pasangan lelaki dan wanita.

"Kami akan mempertaruhkan Syed Akmal dan Hafizuddin untuk mengulangi pencapaian temasya Kuala Lumpur 2017 sementara wakil double wanita Malaysia memiliki pengalaman dalam tiga edisi sebelum ini, jadi mereka memiliki kematangan," kata jurulatih negara, Syed Ali Syed Akil.