SUKAN LAIN
Sukan SEA Hanoi: Haiqal intai pingat 4x100m
Atlet pecut negara, Haiqal Hanafi, berikrar membuktikan dia masih antara taruhan terbaik negara untuk beraksi dalam Sukan SEA Vietnam menerusi peluang kedua.
Biarpun tidak akan mempertahankan pingat emas dalam acara 100 meter yang dimenangi di Manila pada 2019, Haiqal Hanafi menerusi perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Adam Zamri, tetap bersemangat untuk menyumbang pingat dalam acara 4x100m.
"Memang rasa lain walaupun sebelum ini saya juga bertanding menerusi tiket kategori B.
Iklan
"Saya juga kehilangan seorang sahabat, Khairul Hafiz Jantan, yang tidak terpilih.
"Saya harap dia dapat kembali ke prestasi terbaiknya di atas trek," katanya.
Kelmarin, dia gagal melepasi had kelayakan terakhir apabila kurang 0.06 saat ketika melakar 10.58s dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil.
Tetapi dia yang dijangka menggalas misi baru bersama Arsyad Md Saad, Azeem Fahmi dan Russel Alexander Nasir Taib berharap dapat melakar kejutan ketika beraksi di Hanoi, Mei depan, sebagaimana yang dilakukannya ketika turun sebagai 'underdog' dalam acara reben biru itu edisi lalu.
"Saya rasa tiada masalah.
"Saya pernah berlatih dengan Arsyad dan Azeem dalam kem sebelum ini cuma Russel yang berada di Australia ketika ini.
"Tiada masalah untuk kami mencuba (mencabar) 4x100m dalam Sukan SEA tahun ini.
"Tapi kami perlu buat persiapan awal untuk bentuk keserasian.
"Kami mahu buktikan kemampuan dengan memenangi tidak kira apa warna pingatnya walaupun bertanding atas tiket kategori B dua kali," katanya lagi.
Seramai 30 atlet terpilih untuk menggalas cabaran Malaysia dalam acara olahraga.
Daripada jumlah itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyasarkan untuk membawa pulang lima pingat emas sekali gus menyamai pencapaian yang dilakar ketika 2019.
Must-Watch Video