Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Fu Kang yakin kerja keras dalam sesi latihan buah hasil

wong-fu-kang-perenang-kebangsaan-290317.jpg
Perenang kebangsaan, Wong Fu Kang, percaya dia semakin hampir mencapai prestasi terbaik untuk mempertahankan kejuaraan dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos nanti. 

Pada edisi 2015 di Singapura, Fu Kang meraih emas acara 100 meter kuak lentang dengan catatan 1 minit 2.46 saat yang juga merupakan rekod baru kebangsaan. 

Pastinya, dia akan menjadi antara taruhan kontinjen negara untuk mempertahankan emas tersebut dalam saingan kali ini. 

Nyata Fu Kang sedia menyahut cabaran itu dan menganggap dia mampu melakukan catatan lebih baik pada tahun ini. 

"Saya berasakan saya mampu membuat yang lebih baik lagi memandangkan saya sedang menghampiri catatan terbaik peribadi menerusi keputusan yang diraih di Singapura. 

"Ia melonjak keyakinan untuk saya menampilkan aksi yang lebih baik dalam latihan untuk membantu saya memberikan persembahan mantap ketika Sukan SEA nanti," katanya. 

Fu Kang baru sahaja kembali daripada menyertai Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan Singapura, minggu lepas. 

Dia berjaya meraih emas dalam acara 4x100m rampaian bersama-sama Tern Jian Han, Chan Jie dan Keith Lim Kit Sern dengan melakar rekod baru kebangsaan, 3 minit 45.28 saat. 

Ia mengatasi rekod selama 18 tahun yang dipegang kuartet Lim Keng Liat, Elvin Chia, Anthony Ang serta Allen Ong yang melakukan catatan 3 minit 45.61 saat dalam Sukan SEA 1999 Brunei. 

Kejayaan ini memberi keyakinan Fu Kang dan juga rakan sepasukannya untuk mengulangi pencapaian sama, Ogos nanti. 

"Pada mulanya, saya berasakan kami tidak mampu melakukannya. Ia satu kejutan buat kami. 

"Pasukan Malaysia semakin bagus, namun pasukan-pasukan negara lain sudah pun mantap.

"Oleh itu, kami perlu bekerja lebih keras lagi," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video