Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Cai Lin, Hafifi dilanda dugaan kecederaan

hafifi-mansor-080717.jpg
Atlet dan kecederaan tidak dapat dipisahkan. 

Perenang negara, Khoo Cai Lin dan atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor, kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan serius selain berusaha untuk bangkit semula memberi sumbangan kepada negara.

Impian Hafifi, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, untuk menghadiahkan emas Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan kepada Malaysia dan ibu tercinta mungkin tidak akan menjadi realiti.

Dalam masa yang sama, Hafifi masih positif mengenai kebarangkalian dia akan mewakili negara dalam temasya dwi-tahunan itu dari 19 hingga 30 Ogos depan. 

"Saya ditimpa kecederaan itu semasa menjalani latihan di China (bulan lalu). 

"Saya mula menjalani persiapan rapi Sukan SEA sejak tahun lepas sebaik tamat kempen Sukan Olimpik 2016. 

"Saya menanam azam untuk membuktikan bahawa kategori rendah angkat berat mampu menyumbang emas Sukan SEA. 

"Ini kerana kami akan beraksi di laman sendiri dan sudah lama negara tidak memenangi emas dalam Sukan SEA.

"Sayangnya, saya ditimpa dugaan ini. Memang saya terkilan.

"Pada masa itu, saya cuba mengatasi rekod peribadi dengan cuba melakukan clean & jerk dengan bebanan seberat 190kg.

"Siapa tidak kecewa selepas meletakkan harapan selama ini," ujarnya mengenai situasi itu yang mampu menjejaskan penampilan keduanya dalam Sukan SEA. 

Kali terakhir angkat berat menyumbangkan emas dalam Sukan SEA adalah pada 2005 menerusi Che Mod Azrul Che Mat dalam kategori 95kg ke atas.

Pegawai Psikologi Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Wong Sook Kwan, mendedahkan kekecewaan boleh mendorong kepada kemurungan atlet, namun situasi itu tidak terlalu kritikal buat atlet negara. 

"Kekecewaan adalah normal, terutama apabila atlet sudah membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan besar. 

"Apabila tiba-tiba dilanda kecederaan, memang sukar untuk mereka menerima hakikat. 

"Setakat ini, belum ada atlet negara yang menghadapi tekanan yang teruk. 

"Mereka akan perlahan-lahan pulih menerusi sokongan daripada rakan sepasukannya, jurulatih dan kakitangan sokongan yang lain," katanya. 

Cai Lin merupakan perenang jarak sederhana terbaik negara -- seorang Olimpian dan menyumbangkan banyak pingat emas Sukan SEA dalam acara 400 dan 800 meter gaya bebas. 

Atlet dari Selangor itu kecewa kerana akan terlepas mewakili negara dalam Sukan SEA kerana baru sahaja menjalani pembedahan belakang yang mungkin akan meranapkan kariernya dalam sukan renang.

"Situasi saya ini sepatutnya bukan kategori kecederaan. Ada dua sebab perkara ini berlaku; yang pertama, mungkin disebabkan faktor genetik keluarga dan satu lagi, dalam dunia perubatan ia masih belum diketahui lagi punca sebenarnya.

"Saya berdepan penyakit skoliosis, iaitu keadaan di mana tulang belakang saya tidak lurus sama ada bentuk 'C' atau 'S'.

"Saya mengalami masalah ini sejak berusia lapan tahun lagi. Saya sepatutnya menjalani pembedahan pada 2014 tetapi oleh kerana ingin mencapai sesuatu dalam sukan renang, saya menangguhkan pembedahan itu. 

"Saya kerap menghadapi kesakitan belakang kerana kekuatan otot yang tidak sekata. Jadi, saya perlu menjalani banyak program pemulihan.

"Kadang-kadang saya berasa sedih dengan penyakit ini," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video