ANGKAT BERAT
Sukan SEA: Atlet luar dipalit doping, Malaysia mungkin tambah pingat
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, mengesahkan wujud satu lagi kes doping membabitkan atlet negara luar ketika Sukan SEA lalu.
Menurutnya, kes doping itu lewat dikesan kerana menggunakan Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Anti Doping (ADAMS).
Jelasnya, atlet terbabit meraih pingat gangsa sementara atlet Malaysia di tangga keempat. Ini bermakna jika pingat itu ditarik balik, atlet angkat berat negara berpeluang menaiki podium.
Iklan
"Ia tidak bernasib baik untuk Thailand kerana kes tersebut. Tetapi ia tuah untuk Malaysia. Dalam Sukan Komanwel, kita mungkin kehilangan satu pingat tetapi dalam Sukan SEA, kita boleh meraih satu pingat lagi. Itulah yang berlaku," katanya.
Bagaimanapun, tambah Tunku Imran, atlet terbabit meminta menjalani ujian sampel B dengan keputusan akan diketahui dua minggu lagi.
Dalam temasya itu, tiga atlet angkat berat negara meraih tangga keempat dalam kategori berbeza, iaitu Azroy Hazal Wafie Ahmad Izhar (56kg), Muhamad Aznil Bidin (62kg) dan Muhammad Erry Hidayat (69kg).
Perkembangan itu sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan skuad angkat berat negara yang masih terkejut dengan isu doping menimpa pemenang pingat Sukan Komanwel Gold Coast.
"Saya mendapat berita seorang atlet Sukan SEA sangkut doping. Saya pula dapat nombor empat, saya harap rezeki itu berpihak kepada saya.
"Walaupun tidak menaiki podium untuk mendapatkan pingat, saya berharap keputusan dibuat badan berwajib itu betul," kata Azroy.
"Walaupun menerima berita sedih dalam Sukan Komanwel tetapi ada berita gembira dalam Sukan SEA. Dengan kedudukan ketiga terlibat dengan doping, ia membuatkan salah seorang daripada kami mendapat pingat gangsa," kata Ery.
Ini merupakan kes positif doping keempat dalam Sukan SEA 2017, dengan penerjun negara, Ng Yan Yee, antara yang gagal ujian doping.
Must-Watch Video