Susulan 50 jenis sukan bakal dipertandingkan di Sukan SEA Thailand tahun depan seperti diumumkaan Majlis Olimpik Malaysia sebelum ini, rata-rata jurulatih dan atlet menyambut baik kenyataan itu.
Menurut jurulatih lompat bergalah kebangsaan, Roslinda Samsu, jumlah itu tidak memberikan masalah selain berasakan ia menjadi peluang buat kem negara untuk memungut lebih banyak pingat.
Namun, walaupun pihak tuan rumah menyediakan lebih banyak jenis sukan, itu juga bergantung kepada tahap prestasi dan persediaan seseorang atlet itu.
"Dengan banyak sukan pasti semakin banyak pingat akan dipertandingkan. Tetapi ia bergantung pada atlet berdasarkan persediaan mereka juga.
"Untuk tahun ini tidak banyak kejohanan yang kami letak sasaran, tahun ini adalah persediaan untuk fizikal dan mental atlet. Ketika ini persediaan berjalan dengan baik seperti yang dirancang.
"Saya mahukan atlet saya layak seawal yang boleh ke Sukan SEA, jadi mudah untuk membuat persediaan," katanya.
Dalam pada itu, pemenang pingat emas lompat bergalah sukan SEA Hanoi, Nor Sarah Adi, berasakan syarat baru kelayakan ke Sukan SEA yang diletakkan MOM itu bersifat adil buat atlet muda dan senior.
Walaupun secara teknikalnya dia sudah pun berjaya menempah slot ke temasya sukan itu, namun dia bersikap profesional jika ada atlet pelapis yang lebih menyerlah untuk diberikan pendedahan bertanding di sukan terbesar Asia Tenggara itu.
"Pada saya sendiri perkara itu adil, jika layak maka atlet akan dapat peluang itu. Kita mahu membawa pulang pingat dan bukan sekadar pergi sahaja." kata Nor Sarah Adi.
Saufi Tahir
Mon Sep 30 2024