Tempoh 12 hari terakhir sebelum skuad berbasikal trek negara berlepas ke Jelajah Eropah sebagai medan persiapan menuju Sukan Olimpik Paris, menjadi paling kritikal untuk mempersiapkan program latihan intensif yang merangkumi aspek peningkatan prestasi.

Prospek pingat emas pertama kontinjen negara di Paris, Datuk Azizulhasni Awang, bakal mengharungi program khas yang direka bentuk, John Beasley, bagi meningkatkan kepantasan seiring dengan tuntutan perlumbaan di peringkat elit.

The Pocket Rocketman bakal melakukan penampilan kelima peribadi dalam Sukan Olimpik dengan gaya tunggangan yang berbeza hanya tertumpu kepada pecutan saat-saat akhir.

Analisa menyeluruh Beasley memaksa Azizulhasni menjadi pelumba yang lebih lengkap yang berupaya mengubah taktikal perlumbaan mengikut kesesuaian perlumbaan, sekali gus menjanjikan persembahan luar biasa!

"Sesetengah pelumba mempunyai gaya berlumba yang tersendiri. Pelumba mampu memenangi perlumbaan dari depan, belakang dan kelompok pertengahan.

"Jadi adalah sukar untuk menyesuaikan diri. Corak perlumbaan kami juga berdasarkan kajian terhadap beberapa pencabar (berpotensi) dalam Sukan Olimpik Paris jadi pendekatan ini akan menyukarkan mereka untuk meramalkan gerakan Azizulhasni.

"Azizulhasni juga akan memberi fokus membina kekuatan sebelum menyertai Jelajah Eropah kerana di sana ia akan menuntutnya untuk membuat banyak pecutan.

"Oleh itu ia akan membantunya menggilap tahap akhir kederasan kayuhannnya," katanya.