SUKAN LAIN
Sukan Olimpik Khas: Malaysia akhiri kempen dengan lima emas
Kontinjen negara mengakhiri kempen Sukan Olimpik Khas di Abu Dhabi dengan pungutan lima pingat emas, enam perak dan tiga gangsa selepas menambah tiga emas dan dua perak pada hari terakhir temasya itu, semalam.
Skuad golf negara mempamerkan aksi cemerlang di Yas Links dengan meraih tiga emas menerusi Zulhilmi Zolkiffly (kemahiran individu lelaki divisyen 3) dan Nur Iman Izzad Md Noor (divisyen 5) bagi acara sama.
Muhammad Jumaidi Yusof dan Hadi Irfan Mohamed Rahaizah pula merangkul emas acara unified sports alternate shot team play, divisyen 1.
Iklan
Sementara itu, Devakausalya dan Siti Rohimah Mohd Nizam masing-masing memenangi pingat perak melalui acara lompat jauh wanita divisyen F2 dan F9.
Emas pertama negara diperoleh melalui Nurasmah Mohd Shah dalam acara bocce wanita individu, Isnin dan Selasa lalu.
Muhammad Haziq Rizal pula menyumbang emas kedua dalam acara ekuestrian dressage B1.
Mengulas mengenai kejayaan meraih lima pingat emas yang melebihi sasaran dua emas itu, Ketua Delegasi Malaysia ke Sukan Olimpik Khas, Lam Saw Yin, berkata pencapaian itu berjaya dilakar melalui keazaman yang tinggi dan kerja keras seluruh kontinjen.
"Dalam setiap divisyen (bagi keupayaan atlet) untuk setiap sukan, atlet benar-benar menunjukkan tekad untuk melakukan yang terbaik, mendapat sokongan jurulatih dan rakan sepasukan.
"Secara keseluruhannya, sokongan berterusan daripada delegasi terdiri daripada pegawai, jurulatih dan rakan atlet membantu untuk meraih kejayaan ini dan memperkayakan pengalaman semua, terutama atlet negara,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video